Ringgit mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS

RINGGIT memulakan urus niaga pagi Selasa dengan lebih positif apabila dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kelemahan unit negara maju itu berbanding kumpulan mata wang utama.

Pada 9.01 pagi, ringgit berada pada paras 4.4260/4330 berbanding dolar AS daripada paras 4.4350/4395 pada Khamis lepas.

Pasaran ditutup pada Jumaat dan Isnin bersempena cuti umum Aidilfitri.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks dolar Amerika Syarikat (DXY) susut menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 3 Mei ini.

Selain daripada itu, had siling hutang kerajaan AS yang tamat tempoh pada Jun, juga hanya menambah ketidaktentuan pasaran.

“Jika pihak Rizab Persekutua AS (Fed) cenderung menurunkan kadar faedah, ini mungkin membawa kepada penurunan DXY yang akan mengukuhkan lagi ringgit.

“Pada masa ini, gandingan dolar AS-ringgit dijangkakan berlegar sekitar RM4.42 hingga RM4.43 pada Selasa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pada sesi awal hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2954/3008 daripada 3.2923/2958 sewaktu ditutup pada Khamis lepas, rendah berbanding pound Britain kepada 5.5307/5395 daripada 5.5127/5183 dan turun kepada 4.8938/9016 daripada 4.8616/8666 berbanding euro.

Unit tempatan itu juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 295.4/296.1 daripada 296.4/297.1 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3213/3268 daripada 3.3256/3292.

Berbanding peso Filipina, ringgit susut kepada 7.95/7.97 daripada 7.91/7.93 pada Khamis lepas dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.9113/9370 daripada 12.8947/9134. – Bernama

Sumber