Ringgit diunjur diniagakan pada paras semasa minggu depan

Ringgit diunjur diniagakan pada paras semasa minggu depan

RINGGIT dijangka diniagakan pada paras semasa berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjelang pengumuman angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2021 Malaysia pada 11 Februari 2022.

Justeru, penganalisis mengunjurkan ringgit akan mengalami cabaran minggu depan, dengan diniagakan dalam julat 4.18 hingga 4.19 berbanding dolar AS.

Beliau berkata, selain itu berikutan kes Covid-19 harian terkini melepasi paras 7,000 buat kali pertama tahun ini sejak Oktober 2021, mata wang tempatan akan terus menghadapi tekanan.

Malaysia merekodkan 7,324 kes jangkitan baharu Covid-19 pada 4 Februari 2022 meningkat sebanyak 1,604 kes daripada 5,720 kes yang dicatatkan pada 3 Februari.

“Bagaimanapun, dengan harga komoditi lebih baik dan dolar yang mengalami penyusutan, ini akan menghadkan ringgit untuk didagangkan lebih rendah,” katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, unit tempatan tinggi kebanyakannya, sejajar dengan kenaikan yang dicatatkan oleh harga minyak mentah Brent.

Pasaran ditutup pada Selasa dan Rabu susulan cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan dan perayaan Tahun Baharu Cina.

Berasaskan mingguan, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.1805/1810 daripada 4.1880/1915 minggu lepas.

Bagaimanapun, mata wang tempatan didagangkan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1096/1102 daripada 3.0860/0890 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding yen kepada 3.6365/6372 daripada 3.6222/6252.

Unit tempatan rendah berbanding euro kepada 4.7929/7935 daripada 4.6621/6660 minggu lepas dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.6721/6728 daripada 5.6031/6078. – Bernama

Sumber