Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen pasaran yang lebih baik susulan harga minyak yang meningkat dan kenyataan terkini daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai ekonomi negara, kata peniaga.

Walaupun mata wang Amerika Syarikat itu menunjukkan stabil berikutan kenyataan yang meyakinkan daripada White House mengenai perjanjian perdagangan Washington-Beijing, ringgit naik kepada 4.2710/2770 sehingga 6 petang berbanding 4.2770/2850 semasa ditutup pada Isnin.

Minyak mentah Brent meningkat 2.1 peratus kepada AS$43.08 setong berikutan bekalan yang terhad dari negara-negara pengeluar utama.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pendedahan Malaysia kepada turun naik mata wang asing amat terhad berikutan 97 hingga 98 peratus daripada hutang negara terdiri daripada pinjaman dalam negeri.

Beliau berkata, tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi.

Ketika membentangkan Laporan Ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) awal hari ini, menteri itu berkata kerajaan komited untuk memastikan kemajuan semua pakej rangsangan ekonomi dilaporkan tepat pada masanya dan telus.

Kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negara dengan suntikan fiskal langsung kerajaan sebanyak RM45 bilion.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.


Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0671/0723 daripada 3.0657/0717 pada Isnin, susut berbanding pound kepada 5.3165/3261 daripada 5.3035/3151 dan rendah berbanding euro kepada 4.8203/8283 daripada 4.7954/7052.

Mata wang tempatan, bagaimanapun, naik berbanding yen Jepun kepada 3.9875/9942 daripada 3.9987/9080 semalam.- Bernama



Sumber