Ringgit ditutup rendah, tumpuan pada mesyuarat FOMC

Ringgit ditutup rendah, tumpuan pada mesyuarat FOMC

RINGGIT ditutup rendah hari ini berikutan pelabur sedang memantau mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (FOMC) yang dijadual bermula pada 30 Julai.

Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.1230/1270 berbanding 4.1180/1210 semasa ditutup pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata pelabur sedang menunggu keputusan anggota FOMC bagi melihat sekiranya kadar faedah akan dikurangkan sehingga 25 mata asas seperti yang dijangka secara meluas oleh pasaran.

“Selain dari itu, peserta pasaran juga mengawasi laporan penyata gaji AS pada Julai, yang dijadualkan dikeluarkan pada Jumaat, melihat sama ada pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan diperlukan,” katanya.

Beliau menambah penyambungan semula rundingan AS-China di Beijing pada minggu ini juga mendorong para pelabur kekal tidak memasuki pasaran hari ini.

Pada penutupan, ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding mata wang utama, kecuali yen.

Ia sedikit tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.0062/0096 daripada 3.0091/0118 Jumaat lepas, meningkat berbanding pound kepada 5.0849/0915 daripada 5.1211/1265 dan bertambah berbanding euro kepada 4.5860/5913 daripada 4.5879/5920.

Berbanding yen, unit tempatan susut kepada 3.7951/7995 daripada 3.7905/7936 sebelumnya. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *