Ringgit ditutup rendah – Sinar Harian

Ringgit ditutup rendah – Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Ringgit mengakhiri minggu ini dengan ditutup rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan ketiadaan pemangkin baharu pasaran, kata seorang ahli ekonomi.

Pada jam 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.3995/4035 daripada paras penutup 4.3950/4010 pada Khamis.

Ketua ahli ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peserta pasaran sedang menunggu laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) bagi Mac yang dijadual dikeluarkan lewat malam ini.

Beliau berkata, selepas mencatatkan angka 504,000 pada Januari, NFP susut kepada 311,000 pada Februari dan diunjurkan meningkat kepada 240,000 pada Mac.

“Ia jelas sekali bergantung kepada keputusan yang akan diumumkan. Sekiranya angka itu lebih tinggi daripada jangkaan pasaran, terdapat kemungkinan dolar AS akan lebih kukuh kerana nalurinya adalah Rizab Persekutuan AS (Fed) akan meneruskan kenaikan 25 mata asas pada Mei, yang akan menjejaskan aset berisiko seperti ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3411/3443 daripada paras penutup 3.3465/3514 pada Khamis dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4730/4780 daripada 5.4753/4828, tetapi susut berbanding euro kepada 4.8016/8060 daripada 4.7936/8002 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 295.00/295.30 daripada paras penutup 294.70/295.20 pada Khamis dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9090/9279 daripada 12.8893/9145.

Ringgit menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.08/8.09 daripada 8.07/8.09 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3079/3114 daripada 3.3065/3113 sebelumnya. – Bernama

Ringgit, tutup, dolar AS, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, NFP

Sumber