Ringgit ditutup kepada RM4.52 – Sinar Harian

Ringgit ditutup kepada RM4.52 – Sinar Harian

Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat. - Gambar hiasan

Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat. – Gambar hiasan

RINGGIT ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat, membayangkan situasi jajaran terhad ketika peserta pasaran menunggu pengumuman data gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) malam ini, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.5180/5220 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5170/5200 pada Khamis.

Ketua ekonomi, analisis pasaran dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, purata pendapatan setiap jam dijangka meningkat sebanyak 4.7 peratus tahun ke tahun pada Februari 2023 daripada 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan gaji tinggi bermakna Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengetatkan lagi dasar monetarinya yang kemungkinan menaikkan kadar 50 mata asas lagi pada mesyuarat akan datang yang dijadualkan pada 21-22 Mac,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4148/4196 daripada 5.3608/3643 pada Khamis dan turun berbanding euro kepada 4.7823/7865 daripada 4.7690/7722. Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3038/3070 daripada 3.3160/3184 pada Khamis.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesian kepada 292.30/292.80 daripada 292.70/292.90 pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3316/3351 daripada 3.3405/3432.

Bagaimanapun ia susut berbanding baht Thai kepada 12.8894/9064 daripada 12.8814/8962 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.19/8.20 daripada 8.18/8.18. – Bernama

Sumber