Ringgit dijangka terus alami tekanan berbanding dolar AS

Ringgit dijangka terus alami tekanan berbanding dolar AS

RINGGIT dijangka terus ditekan oleh perkembangan berkaitan ketegangan perdagangan yang dicetuskan Amerika Syarikat (AS), sejajar dengan mata wang negara Asia lain, malah pasaran sedia bimbang dengan prospek kelembapan keadaan ekonomi global seterusnya, kata peniaga.

Penganalisis FXTM, Han Tan berkata ringgit berbanding dolar AS terus mendekati paras psikologi 4.20, susulan Presiden AS Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif baharu ke atas barangan Mexico, tindakan yang akan menjejaskan lagi sentimen risiko.

“Walaupun Malaysia, Singapura dan Vietnam dimasukkan dalam senarai pemerhatian Perbendaharaan AS bagi manipulasi mata wang minggu ini, namun ia dijangka tidak memberi risiko negatif serta-merta kepada mata wang masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia Nikkei bagi Mei, serta data perdagangan luaran pada April, yang akan dikeluarkan beberapa hari lagi, mungkin memberi petunjuk selanjutnya bahawa ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia tidak ‘kebal’ daripada kesan konflik AS-China yang sedia meningkat.

“Faktor tempatan dijangka kurang penting berbanding pemacu luaran bagi ringgit dengan daya tahan dolar AS menggambarkan laluan AS$-MYR mungkin akhirnya melepasi paras psikologi 4.20, terutama jika AS membuat ancaman baharu perang perdagangan,” katanya.

Bagaimanapun, ringgit dijangka terus bergantung kepada asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan untuk mengimbangi prestasinya dengan penggubal dasar mempunyai penampan mencukupi untuk menguruskan kesan risiko negatif luaran secara berhati-hati ke atas ekonomi domestik, katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.1890/1920 berbanding dolar AS daripada 4.1870/1900 sebelumnya.

Ia didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0399/0432 daripada 3.0404/0431 namun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8512/8544 daripada 3.8178/8216.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.2693/2748 daripada 5.3158/3213 dan stabil berbanding euro kepada 4.6703/6741 daripada 4.6844/6894. -Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *