Ringgit dibuka tinggi, sentimen risiko global kian baik

Ringgit dibuka tinggi, sentimen risiko global kian baik

KUALA LUMPUR – Urus niaga ringgit meneruskan momentum positif pagi ini untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS didorong oleh sentimen risiko yang kian baik terhadap perkembangan vaksin koronavirus (Covid-19) dan harga minyak yang agak stabil di pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada jam 8 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.2550/2600 berbanding dolar AS pada 4.2600/2650 ketika ditutup semalam.

Menurut satu laporan, hasil percubaan awal menunjukkan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh University of Oxford dan AstraZeneca selamat dan memberikan tindak balas imun.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, meskipun jualan runcit di China lambat meningkat, itu boleh berubah dengan Beijing menurunkan tahap amaran mobiliti Covid-19, yang boleh membantu eksport pembuatan Malaysia ke China.

“Dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua China yang lebih kukuh daripada jangkaan, ini menunjukkan pengeksport komoditi seperti Malaysia seharusnya mendapat manfaat daripada ini.

“Bagaimanapun, laporan menyatakan China telah menjual stok penyimpanannya ke pasaran tempatan lain dan ini boleh mengehadkan keuntungan harga minyak dan mengekang kenaikan ringgit,” kata beliau kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, seorang penganalisis berkata, kenyataan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengatakan pemulihan sektor ekonomi yang terjejas oleh Covid-19 telah mula meningkat dapat membantu menambahkan minat para pelabur ke atas mata wang tempatan.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali pound Britain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0629/0674 daripada 3.0639/0681 pada Isnin dan meningkat berbanding yen kepada 3.9688/9739 daripada 3.9720/9771.

Berbanding euro, ringgit lebih tinggi kepada 4.8741/8803 daripada 4.8798/8860.

Bagaimanapun, ia lemah berbanding pound Britain kepada 5.3911/3983 daripada 5.3625/370 hari sebelumnya. – Bernama



Sumber