Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit memperoleh semula sebahagian kelebihan untuk dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memandangkan permintaan dolar AS lemah dalam keadaan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka berpendirian agresif terhadap dasar monetarinya pada minggu ketiga bulan ini.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3805/3840 berbanding dolar AS daripada 4.3880/3910 ketika ditutup pada Rabu.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pelabur juga menumpukan data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat, justeru, menyediakan situasi dagangan yang menggalakkan untuk ringgit.

“Selain itu, sentimen risiko dilihat lebih stabil, disokong juga oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh namun ringgit mungkin bergerak dalam jajaran kecil sebelum data tersebut dikeluarkan,” katanya kepada Bernama.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras meningkat 0.07 peratus kepada AS$117.70 setong.

Di peringkat tempatan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Khamis berkata, pengembangan ekonomi Malaysia sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021, dan 5.0 peratus pada suku pertama 2022 akan terus mendorong pengukuhan nilai mata wang ringgit.

Ini turut dicerminkan oleh analisis terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan perkembangan KDNK Malaysia sebanyak 5.75 peratus bagi 2022, dipacu oleh permintaan terpendam dalam negara dan permintaan luar yang terus kukuh, katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-97.

Beliau berkata Kementerian Kewangan yakin terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara yang teguh dan dijangka berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada 2022, sekali gus menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1960/1991 daripada 3.1901/1928 ketika ditutup pada Khamis namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3745/3775 daripada 3.3803/3829.

Ringgit diniagakan rendah berbanding pound British kepada 5.5085/5129 daripada 5.5034/5072 semasa penutupan semalam dan turun berbanding euro kepada 4.7125/7163 daripada 4.6895/6927. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber