Ringgit dibuka rendah, kemelut hutang AS beri kesan

Ringgit dibuka rendah, kemelut hutang AS beri kesan

RINGGIT kekal di bawah tekanan ketika hasil perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) terus mencetuskan ketidaktentuan yang ketara.

Pada 9 pagi ini, ringgit susut kepada 4.6280/6305 berbanding dolar AS daripada 4.6245/6285 pada akhir urus niaga semalam yang mencatat paras terendah dalam tempoh enam bulan.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tindakan Fitch Ratings menyenaraikan dana berdaulat kerajaan AS dalam Pemantauan Penarafan Negatif selanjutnya, hanya menunjukkan potensi penurunan penarafan yang terus ketara.

‘’Ini mungkin menjadi sebab mengapa pulangan hasil kertas 10 tahun Perbendaharaan AS yang tinggi menghampiri lapan mata asas kepada 3.82 peratus.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan ketidaktentuan akan terus ketara dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, gandingan ringgit-dolar AS kekal lemah dengan kadar perukaran ditutup lebih rendah sebanyak 0.72 peratus semalam berbanding sehari sebelumnya, sekali gus melepasi paras rintangan sebelum ini pada 4.7495.

Dari segi carta teknikal, beliau menjangkakan tahap rintangan seterusnya pada 4.7495.

‘’Masih belum jelas sama ada Kongres AS akan bersetuju untuk menaikkan paras siling hutang tidak lama lagi.

“Aspek politik juga bukanlah sesuatu yang boleh dinafikan ketika pihak Republikan berkemungkinan dilihat hanya memanfaatkan keadaan selepas kadar sokongan terhadap presiden terus rendah.

“Atas alasan itu, perincian perjanjian terbabit adalah penting kerana membabitkan aspek mengenai potongan perbelanjaan dan kesannya terhadap pertumbuhan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini data dilihat agak positif dengan Tuntutan Awal Pengangguran AS susut kepada 229,000 minggu lepas berbanding 242,000 sebelum ini manakala anggaran kedua bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2023 negara maju itu menokok 1.3 peratus berbanding unjuran 1.1 peratus.

Susulan itu, katanya, dolar AS dijangka terus mendapat permintaan tinggi.

Di peringkat tempatan, pelabur akan memantau data inflasi April 2023 yang akan diumumkan hari ini.

Sebelum ini, inflasi Mac 2023 turun kepada 3.4 peratus daripada 3.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya lebih mengukuh berbanding mata wang utama kecuali berbanding euro yang susut kepada 4.9635/9662 daripada 4.9630/9673 pada sesi akhir urus niaga semalam.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun pada 3.3086/3106 daripada 3.3141/3172 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7026/7057 daripada 5.7247/7296.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur mata wang Asean lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.4168/4191 daripada 3.4202/4237 semalam dan naik berbanding baht Thailand pada 13.3306/3440 daripada 13.3602/3776.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 309.4/309.8 daripada 309.2/309.6 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.25/8.26.

Bursa Malaysia dibuka meningkat namun susut kemudiannya

Sementara itu, Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan lebih tinggi namun susut kemudiannya susulan jualan berterusan saham wajaran tinggi dalam sentimen pasaran Asia yang bercampur-campur.

Pada 9.17 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 2.51 mata kepada 1,399.97 daripada 1,402.48 sewaktu ditutup semalam.

Indeks tersebut dibuka mengukuh 0.45 mata pada 1,402.93.

Pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 211 berbanding 162 manakala 232 kaunter tidak berubahh; 1,671 tidak diniagakan manakala 26 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 287.93 juta unit bernilai RM186.64 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, pengumuman mengenai kadar inflasi Malaysia hari ini akan menjadi tumpuan ramai.

“Indeks FBM KLCI kekal suram berikutan tekanan jualan berterusan dalam saham perbankan dan perladangan.

“Kami juga percaya aktiviti memburu saham berharga rendah di bursa tempatan akan muncul selepas ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan sebarang tanda kemelesetan selepas pengumuman data keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2023 yang lebih tinggi daripada jangkaan awal,” katanya.

Bagi komoditi, firma pembrokeran itu berkata, harga minyak mentah Brent turun ke paras US$76 setong manakala harga minyak sawit mentah melepasi paras RM3,500 satu tan dan harga emas terus melonjak kepada US$1,940 setiap auns.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank naik 3.0 sen masing-masing kepada RM8.59 dan RM3.92; Petronas Chemicals meraih 1.0 sen kepada RM6.98 manakala Tenaga Nasional susut 5.0 sen kepada RM9.53 dan CIMB Group tidak berubah pada RM4.96.

Bagi saham aktif, YTL Corporation naik 2.5 sen kepada 80.5 sen; Revenue Group menokok 1.0 sen kepada 27.5 sen; YTL Power International menambah 7.0 sen kepada RM1.22 manakala Vinvest Capital dan Velesto Energy susut setengah sen kepada 6.5 sen dan 22.0 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 22.45 mata kepada 10,261.96; Indeks FBMT 100 turun 22.01 mata kepada 9,967.95; Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 56.34 mata kepada 10,587.76; Indeks FBM 70 merosot 46.53 mata kepada 13,378.49 dan Indeks FBM ACE menguncup 40.51 mata kepada 4,903.68.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.49 mata kepada 163.65; Indeks Perladangan merosot 96.86 mata kepada 6,708.89 dan Indeks Tenaga menguncup 5.39 mata kepada 813.37 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 44.54 mata kepada 15,362.97. – Bernama

Sumber