Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

INDEKS Dolar AS (DXY) yang mengukuh semalaman selepas dirangsang oleh peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mendorong ringgit dibuka rendah pagi ini berbanding dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4130/4185 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Isnin pada paras 4.4070/4120.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, DXY AS terus bergerak tinggi sebanyak 0.48 peratus kepada 102.578 mata selepas Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan pendirian mereka terhadap kenaikan kadar faedah.

Dilaporkan bahawa ahli jawatankuasa penetapan kadar John Carroll Williams yang merupakan Presiden Fed Bank of New York berkata, kadar kenaikan kadar adalah punca utama kejatuhan dua bank pada bulan Mac.

“Justeru, pasaran menjangkakan satu lagi kenaikan suku mata dalam Kadar Dana Fed pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang pada 2-3 Mei.

“Bagi ringgit, ia akan kekal lemah dan bergerak dalam julat yang sempit,” kata Afzanizam kepada Bernama.

Selain itu, peserta pasaran turut menantikan data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang akan dikeluarkan pada Rabu, katanya.

“Tetapi buat masa ini, pasaran mata wang bimbang mengenai keputusan Fed dan akan memantau dengan teliti data CPI AS,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.8000/8060 daripada 4.8063/8117 pada penutup Isnin, meningkat berbanding pound Britain untuk mencatatkan paras 5.4712/4781 daripada 5.4801/4863 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.3076/3120 berbanding 3.3346/3386 sebelumnya.

Berbanding mata wang ASEAN pula, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan meningkat berbanding peso Filipina pada 8.08/8.11 daripada 8.10/8.11 sebelumnya dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3131/3174 daripada 3.3158/3200.

Ringgit menyusut nilai rupiah Indonesia pada 296.10/296.60 daripada 295.70/296.10 pada penutup Isnin dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.8408/8624 daripada 12.8338/8547 sebelumnya. – Bernama

Sumber