Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4035/4105 berbanding dolar AS.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4035/4105 berbanding dolar AS.

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin menjelang pengeluaran minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) serta unjuran global terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4035/4105 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Jumaat lepas pada 4.3995/4035.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketua IMF Kristalina Georgiva agak pesimis mengenai prospek ekonomi untuk lima tahun akan datang.

“Menurut Georgiva, mendapatkan pertumbuhan global yang teguh masih menjadi tugas yang getir berikutan kadar faedah yang lebih tinggi dan perang yang berterusan di Ukraine.

“Oleh itu, gandingan USD/MYR dijangka bergerak dalam julat yang sempit hari ini iaitu sekitar RM4.40-RM4.41,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, peserta pasaran turut menantikan data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang akan dikeluarkan pada Rabu.

Mohd Afzanizam berkata, nilai ringgit telah meningkat sejak awal Mac dan carta teknikal menunjukkan mata wang tempatan berada dalam kedudukan terlebih beli.

“Sekiranya nada Rizab Persekutuan AS beralih untuk memihak kepada pertumbuhan ekonomi, ada kemungkinan ringgit boleh terus meningkat. Jika tidak, ia akan kekal dalam julat semasa atau memperlihatkan beberapa pembetulan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama tetapi tidak berubah berbanding euro pada 4.8016/8092 daripada 4.8016/8060 pada penutup Jumaat lepas.

Ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3201/3259 berbanding 3.3411/3443 pada penutup Jumaat lepas dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4674/4761 daripada 5.4730/4780 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8487/8759 daripada 12.9090/9279 minggu lepas dan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.3062/3119 daripada 3.3079/3114 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu lebih rendah berbanding rupiah Indonesia pada 295.20/295.80 daripada 295.00/295.30 Jumaat lepas dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.09/8.11 daripada 8.08/8.09 sebelumnya. – Bernama

Sumber