Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan penurunan harga minyak kerana lonjakan dalam kes-kes baharu koronavirus (Covid-19) di Amerika Syarikat telah menjejaskan mood para pelabur, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan itu merosot kepada 4.2670/2750 berbanding dolar AS daripada 4.2600/2650 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, pergerakan rancak ringgit berubah menjadi teruk kerana peningkatan kes baharu Covid-19 di AS telah menimbulkan kebimbangan mengenai penutupan ekonomi yang boleh terus menjejaskan keadaan.

“Pertambahan kes baharu AS telah memacu pembetulan harga minyak semalaman sebanyak tiga peratus dengan penularan virus itu menyaksikan negeri-negeri seperti California, Texas dan Florida, yang menghasilkan minyak untuk negara itu, mencatatkan beberapa kes kenaikan terbesar setiap hari dan kematian minggu ini,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, Ambank Research pula dalam notanya menjangkakan ringgit diniagakan antara paras sokongan 4.2537 dan 4.2583 sementara paras halangan pada 4.2672 dan 4.2726.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar Singapura pada 3.0621/0685 daripada 3.0595/0642 pada Khamis dan lebih rendah berbanding yen pada 3.9838/9923 daripada 3.9702/9752 semalam.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding euro pada 4.8106/8213 daripada 4.8262/8335 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3726/3835 daripada 5.3906/3982. – Bernama



Sumber