Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kuasa belian yang susut ketika sentimen terus diheret turun oleh kebimbangan terhadap perang dagangan AS-China yang belum berakhir serta tindakan oleh bank-bank pusat.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada paras 4.1900/1940 daripada 4.1830/1880 pada Jumaat.

Pasaran ditutup pada Isnin bersempena cuti sambutan Hari Raya Aidiladha.

Seorang peniaga berkata tarif AS akan dikenakan ke atas barangan China pada 1 September.

“Pasaran akan terus berada di bawah tekanan susulan hasil tindak-tanduk pentadbiran Presiden Donald Trump manakala data inflasi AS minggu ini akan hanya mengesahkan pendirian bank pusat negara itu.”

Beliau berkata pasaran turut mengunjurkan indeks harga pengguna AS meningkat 0.3 peratus.

“Sebarang angka lebih rendah mungkin akan hanya menambah lagi tekanan terhadap pasaran dan kami menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedahnya bulan depan. Jika ini berlaku, ia akan memberi rangsangan kepada ringgit,” katanya.

Sewaktu dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.0582/0634 daripada 5.0652/0705 pada Jumaat dan meningkat kepada 3.0203/0242 daripada 3.0259/0285 berbanding dolar Singapura.

Namun ringgit susut berbanding yen kepada 3.9750/9799 daripada 3.9522/9561 dan rendah berbanding euro kepada 4.6953/7002 daripada 4.6858/6908. -Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *