RHB Research jangka harga minyak stabil pada AS$69 setong

RHB Research jangka harga minyak stabil pada AS$69 setong

RHB Research menjangkakan harga minyak akan stabil pada AS$69 dan AS$65 setong (bbl) masing-masing pada 2022 dan 2023, manakala andaian jangka panjang harga minyak kekal pada AS$60 bbl.

Dalam nota penyelidikannya pada Selasa, firma itu berkata, ia menjangkakan semakan menurun selanjutnya dalam permintaan minyak mentah oleh agensi-agensi utama dalam beberapa bulan akan datang, disebabkan pelaksanaan semula langkah penutupan sebagai tindak balas kepada kemunculan varian baharu Covid-19.

“Sehubungan itu, kami percaya pasaran akan mengambil kira kesan Omicron pada tahap tertentu.

“Tekanan terhadap bekalan akan kekal pada 2022, tetapi strategi Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) masih sangat positif mengenai harga, terutamanya apabila harga minyak turun, kerana kartel dalam industri itu bersedia untuk menyesuaikan tahap pengeluaran bagi menyokong harga,” katanya.

Ia juga meramalkan harga minyak yang lebih lemah daripada jangkaan dan perbelanjaan oleh syarikat-syarikat utama minyak.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pemulihan yang lebih lama daripada jangkaan untuk kapal tangki, kerana pasaran bagi kapal tangki petroleum sangat lemah pada 2021 disebabkan lebihan tan.

“Kami percaya titik perubahan boleh menjadi kenyataan pada 2022, memandangkan jangkaan pemulihan ekonomi dan peningkatan beransur-ansur dalam pengeluaran minyak OPEC dan sekutunya.

“Inventori minyak global telah rendah dan meningkatkan semula inventori juga mungkin berlaku tahun depan,” tambahnya.

Oleh yang demikian, RHB Research mengekalkan saranan ‘beli lebih’ pada segmen minyak dan gas bersepadu, berdasarkan semakan ke atas panduan aktiviti dalam Prospek Aktiviti Petronas 2022-2024 terkini, yang mungkin mencadangkan pemulihan dalam aktiviti huluan harus dipercepat pada 2022.

“Kami menganggarkan perbelanjaan modal Petronas di antara RM40 bilion dan RM45 bilion pada 2022, dengan penggunaan semula sumber yang berterusan kepada sumber boleh diperbaharui,” tambahnya. – Bernama

Sumber