‘Rekaan Katana tambat hati saya’

‘Rekaan Katana tambat hati saya’

DALAM dunia ini, ada kepelbagaian manusia yang mempunyai kecenderungan yang berbeza-beza. Sesetengah individu yang meminati lukisan sanggup membeli sebotol warna akrilik pada harga ratusan ringgit demi memastikan kanvas kosong berubah menjadi calitan seni yang memukau.

Terdapat juga individu yang sanggup mengembara ke Tunisia dan Bosnia Herzegovina semata-mata mahu membeli peta kuno sebagai memenuhi minatnya menyimpan peta setiap negara.

Tidak kurang juga mereka yang obses dengan kenderaan. Bagi memenuhi selera luar biasa, pelaburan wang yang tinggi bukan satu masalah yang mengusutkan kepala.

Hal itu dibuktikan oleh seorang ahli perniagaan yang juga seorang mekanik motosikal, Mohd Asri Ramli, 46.

Kegilaannya terhadap jentera retro mendorong beliau membelanjakan lebih setengah juta ringgit untuk memiliki sembilan unit Suzuki Katana pelbagai model.

SUZUKI Katana

SUZUKI Katana

Berdasarkan rekod, harga setiap unit motosikal berkenaan mencecah lebih RM60,000.

Pemburu jentera retro itu memberitahu Sinar Turbo, bukan sekadar membeli motosikal semata-mata, malah beliau akan memastikan semua jenteranya dilengkapi aksesori berkaitan yang biasanya tidak mudah diperoleh di Malaysia.

“Sebenarnya kalau diizinkan, saya mahu menghidupkan dunia sukan permotoran retro di negara ini kerana saya percaya ramai yang berminat dengan motosikal segmen lama ini,” katanya membuka bicara.

Sebelum pergi jauh, Sinar Turbo bertanya kepadanya, apa menariknya Katana pada matanya?

Seperti sudah menelah persoalan yang ingin dilontarkan, Mohd Asri atau dikenali sebagai Arrie Retro menerangkan kepada penulis mengenai historiografi Suzuki Katana terlebih dahulu.

Katanya, Katana ialah salah satu senjata Jepun. “Ia berupa pedang panjang yang mesti digenggam dengan dua belah tangan dan cukup tajam dan sifat itu diterjemahkan pada motosikal Suzuki Katana,” katannya.

Dari tahun ke tahun, Arrie berkata, rekaan jentera Katana semakin ‘mengancam’.



BARISAN koleksi Suzuki Katana pelbagai model milik Arrie.

BARISAN koleksi Suzuki Katana pelbagai model milik Arrie.

“Namun apa yang boleh saya katakan, ia (rekaan) mampu menambat hati sesiapa sahaja termasuk saya. Itu sebab saya terus jatuh hati dan tak lokek mengeluarkan belanja besar untuk memiliki setiap keluaran baharu motosikal ini,” katanya berterus terang.

Bercerita lanjut, lelaki itu berkata, setiap model yang tampil di pasaran cukup unik kerana menggabungkan ciri-ciri estetik, ergonomik dan aerodinamik yang didambakan oleh peminat jentera retro.

“Sekitar tahun 1990-an, ramai penunggang dan peminat motosikal berkuasa tinggi memilih model seperti Cagiva atau Aprilia, namun saya pula sebaliknya. Saya tetap dengan ‘pendirian’ untuk terus setia dengan variasi Suzuki Katana, ” kata bapa kepada enam zuriat itu.



TOPI keledar yang kini dikatakan mencapai nilai harga RM10,000 sebuah turut menjadi koleksi Arrie.

TOPI keledar yang kini dikatakan mencapai nilai harga RM10,000 sebuah turut menjadi koleksi Arrie.

Arrie memberitahu, pembelian pertama model itu dilakukannya pada tahun 1999.Kemudian, ia terus mendorong dirinya mengumpul variasi lain motosikal jenis sama.

Dengan nada ceria, beliau berkata:”Setiap kali saya melihat deretan Suzuki Katana 250cc, 400cc, 650cc, 750cc dan 1,100cc yang diatur sempurna di depan kedai milik saya, perasaan saya terus gembira dan puas hati yang teramat sangat.”

Minat yang sangat mendalam ahli perniagaan itu terhadap dunia pemotoran retro diterjemahkannya dengan membuka sebuah kedai atau pusat sehenti yang diberi nama Retro Station.

Retro Station

Retro Station antara lain menawarkan bengkel membaik pulih motosikal, menjual alat ganti motosikal, mengecat motosikal, penjualan aksesori dan perkhidmatan lain yang mana kesemuanya berkonsepkan retro.

Bukan satu tetapi beliau membuka dua premis. Masing-masing di Masjid Tanah, Melaka yang telah beroperasi sekitar tahun 2009 dan satu lagi cawangan di Taman Cahaya, Ampang, Kuala Lumpur.

Perbualan rancak Sinar Turbo bersamanya membuatkan penulis memberanikan diri bertanyakan tentang cabaran besar menjadi pengumpul jentera retro sepertinya yang sudah pasti kos yang dikeluarkan barangkali lebih mahal daripada membeli sebuah kereta Kancil.



SEBAHAGIAN koleksi topi keledar bernilai yang dipamerkan di Retro Station.

SEBAHAGIAN koleksi topi keledar bernilai yang dipamerkan di Retro Station.

Sambil merenung penulis, Arrie berkata, beliau tidak menafikan pernyataan itu.

“Saya akui, harga barangan atau alat ganti kenderaan retro memang tinggi dan sedikit sebanyak bikin peminatnya rasa ‘sesak’ sedikit.

“Justeru, nasihat saya kepada mereka yang sudah berjinak ataupun sedang menjinakkan diri agar mengukur kemampuan sendiri. Ubah suai motosikal memang perlukan jiwa dan mental yang kental terutama membabitkan wang.

“Namun, bagi saya, tidak perlu terlalu bergantung pada alat ganti baharu atau tulen semata-mata, perkara paling penting adalah menghidupkan kembali ‘bangkai’ ke jalan raya,” katanya.



GAMBAR kenangan Arrie ketika menjuarai pertandingan sempena Bike Week 2017 di Terengganu.

GAMBAR kenangan Arrie ketika menjuarai pertandingan sempena Bike Week 2017 di Terengganu.

Beliau yang sememangnya dikenali sebagai pemilik Suzuki Katana dalam kalangan geng jentera retro berkata, kadangkala beliau berdepan dengan perasaan serba salah. Mengapa?

Masakan tidak, ada dalam kalangan kenalan termasuk yang tidak dikenalinya menyatakan hasrat untuk membeli Suzuki Katana miliknya pada harga yang jauh lebih tinggi.

Pun demikian, Arrie berkata, beliau terpaksa menolaknya kerana amat menyayangi koleksi peribadinya itu.

“Ada rakan saya anggap saya gila kerana masih menyimpan motosikal itu walaupun pulangannya memang lumayan jika dijual. Biarpun bernilai tinggi, namun wang ringgit bukan segala-galanya. Sepanjang lebih 20 tahun mengumpul koleksi model ini, saya rasa satu kepuasan dan semua orang tak mampu faham sebenarnya, ” katanya merendah diri.

Jangan tidak percaya, selain motosikal Suzuki Katana, lelaki penuh karisma itu juga memiliki pelbagai lagi aksesori jentera dua roda asli seperti jaket, sut perlumbaan keluaran tahun 1996 dan topi keledar yang mencapai nilai harga RM10,000 sebuah.

Secara keseluruhan, Arrie memiliki hampir 100 buah jentera retro pelbagai jenama dan varian sepanjang penglibatannya.

Kepada Sinar Turbo, beliau berkata, pihaknya kini aktif menganjurkan pelbagai perhimpunan motosikal retro seluruh Malaysia. Antara program yang paling mendapat sambutan ialah Santai Retro PD yang dianjurkan pada tahun 2012.

TIDAK jemu melayan kerenah pelanggan yang berkunjung bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan adalah kunci utama kejayaan bagi Arrie Retro.

TIDAK jemu melayan kerenah pelanggan yang berkunjung bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan adalah kunci utama kejayaan bagi Arrie Retro.

“Kini, ia menjadi acara wajib tahunan setiap pertengahan tahun di Port Dickson, Negeri Sembilan. Sebenarnya, pelbagai program telah dirancang rapi dan sehingga kini saya memfokuskan pada dunia pemotoran tanah air termasuklah pembabitan dalam program Bike Week.

“Apa saja program yang memerlukan kehadiran saya, saya akan beri sokongan penuh termasuk jika diajak menjelajah ke seluruh Malaysia. Minat saya ini sukar digambarkan dengan kata-kata,” tuturnya.

ERA kewujudan Katana

1980: Model konsep Katana 550 dan 1100 diperkenalkan di Cologne, Jerman.

1981: Suzuki GS550 dan GSX1100S Katana dikeluarkan. Kemudian diikuti dengan GSX750S dan GS650G. Semuanya dinamakan Katana.

1982: Suzuki memperkenalkan XN85 Turbo. Seperti namanya, ia memang dilengkapi pengecas turbo. Walaupun tidak dilabel sebagai Katana tetapi ia mempunyai ciri yang hampir sama dengan Katana.

1984: Lampu pop-up yang terkenal ditambah pada Katana GSX750S.

1985: Katana GSX1100S dihentikan untuk pasaran Eropah bagi memberi laluan kepada GSX-R yang baharu, namun ia masih dipasarkan di Jepun kerana mendapat permintaan yang tinggi.

1991: GSX250S diperkenalkan sebagai Katana yang paling kecil.

1992: Suzuki memperkenalkan GSX400S Katana. Sayangnya, kedua-dua model 250cc dan 400cc itu bertahan hingga tahun 1994 sahaja.

2001: Pengakhiran sejarah Katana yang panjang. Walaupun ada produk lain yang menggunakan nama Katana sehingga tahun 2008, namun ia sudah kehilangan beberapa ciri asal Katana, khususnya rekaan fairing dan warna perak gelap.

Sumber