Rehda sambut baik insentif untuk industri hartanah

Rehda sambut baik insentif untuk industri hartanah

SHAH ALAM – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyambut baik Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, langkah itu menunjukkan komitmen Kerajaan untuk melindungi perniagaan dan individu dari semua status sosioekonomi.

“Kami percaya bahawa langkah-langkah ini akan memainkan peranan penting dalam mereformasi kedudukan ekonomi semua industri dengan mendorong penggunaan dan perbelanjaan, dan pada masa yang sama meningkatkan pekerjaan.

“Rehda mengalu-alukan insentif yang diberikan kepada industri dan berbesar hati atas pengumuman yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, insiatif bagi industri terdiri daripada pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berkuat kuasa dari 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021;

Selain itu, turut diberikan pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) berkuat kuasa dari 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021; dan penghapusan had pinjaman kepada nilai hartanah ( LTV) untuk unit kediaman berharga dari RM600,000 dan ke atas dalam tempoh HOC.

“Kami yakin bahawa insentif ini akan membantu meringankan beban pembeli dalam pemilikan rumah dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.



Sumber