RAYA TERBAIK GABUNGAN TIGA SUARA DAYANG NURFAIZAH, HANNAH DELISHA & SOPHIA LIANA

RAYA TERBAIK GABUNGAN TIGA SUARA DAYANG NURFAIZAH, HANNAH DELISHA & SOPHIA LIANA

Petaling Jaya, 22 April 2022 – Edisi Raya All Out daripada syarikat rakaman Universal Music Malaysia diteruskan dengan persembahan gandingan pertama penyanyi Dayang  Nurfaizah, Hannah Delisha dan Sophia Liana menerusi lagu raya, RAYA TERBAIK.

Universal Music Malaysia sebelum ini mengeluarkan single Balik Kampung yang menggabungkan lima penyanyi dan rapper popular, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, ASYRAF NASIR dan Yonnyboii, Dolla dan Hael Husaini untuk lagu Suara Lebaran Kita dan Dato’ SriSiti Nurhaliza (Lip Lap Raya) dan The Gadys (Great Gadys).

Lagu RAYA TERBAIK ditulis oleh Ajay Amai, Banni Basyishar, Sophia Liana, dan Ja’a.

 Gandingan Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, dan Sophia Liana memang di luar jangkaan, dan ketiga-tiga bakat cemerlang ini masing-masing mempunyai laluan kerjaya tersendiri untuk diikuti.

Lagu RAYA TERBAIK yang mementingkan kegembiraan, mengimbau kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di tanah air, serta meraikannya bersama orang tersayang.

Perwatakan dan kekuatan vokal yang berbeza memberikan ‘mood’ menjadikan lagu ini berbeza daripada lagu raya lain.

Penerbit lagu RAYA TERBAIK iaitu Bani Basyisyar menggabungkan pelbagai elemen muzik tradisional dalam lagu ini.

“Lagu ini adalah gabungan muzik inang, joget dan sedikit koplo pada bahagian korus. Rentak tradisional ini diiringi oleh alat muzik dan bunyi moden. Sudah lama lagu raya tidak menampilkan muzik sebegini dan bagi saya ia satu lagi kelainan dan keistimewaan,” katanya.

Dalam liriknya, Dayang Nurfaizah menggambarkan RAYA TERBAIK sebagai “lagu raya yang menyeronokkan.”

“Lagu ini sangat ‘fun’, seronokdan kalau tengok lirikia lebih menunjukkan pada kemeriahan suasana hari raya. Jadi harapan saya kepada sesiapa saja yang mendengar lagu ini terutama peminat saya, kalau dengar lagu ini mereka dapat ‘vibes’ kemeriahan berhari raya bersama keluarga,” katanya.

Dayang mengulas betapa hebatnya sesi rakamannya bersama Hannah dan Sophia.

“Proses rakaman sangat senang dan semuanya berjalan lancar. Masing-masing ada bahagian. Saya masuk dulu, sementara Hannah dan Sophia rakam kemudian. Sebelum rakam saya ada juga berjumpa dengan Hannah, sebab nak tengok bahagian mana sesuai untuk saya dan untuk Hannah.  Sewaktu  rakaman  pun  sekali  dengan  komposer  dan  penerbit  untuk  lagu  ini.  Jadi proses rakaman lagu ini sangat mudah,” katanya.

Dayang melaporkan muzik video (MV) lagu ini dirakam dalam suasana meriah, seperti yang digambarkan dalam liriknya.

“Penggambaran MV ambil masa lama sebab membabitkan tiga artis. MV ini kita cuba tunjukkan suasana hari raya yang kita sambut meriah dan raikan bersama keluarga. Itu yang kita cuba sampaikan sama seperti dalam lirik lagu ini. Secara keseluruhan memang seronok walaupun penat,” katanya.

Bagi Hannah Delisha pula, dia berpendapat lagu RAYA TERBAIK merupakan lagu raya yang segar dan mampu menarik perhatian pencinta muzik tanah air.

“Ini adalah lagu raya. Sudah tentu lagu ini menceritakan mengenai detik  gembira  yang  kita semua  alami semasa menyambut  hari  raya.  Raya adalah mengenai berkumpul  dengan keluarga dan rakan-rakan kita.

“Jadi, lagu ini memberikan ‘vibes’ yang menyeronokkan, segar  dan sangat menarik.  Ia juga kolaborasi  lagu raya  pertama  saya  dengan  dua  wanita  berbakat  dalam  industri  muzik  ini. Sangat teruja untuk semua orang mendengar lagu ini,” kata Hannah.

Pada masa yang sama, Sophia adalah komposer bersama lagu RAYA TERBAIK, dan dia gembira kerana berpeluang berkolaborasi dengan Dayang dan Hannah dalam projek ini.

“Saya sangat bangga, ini adalah lagu raya pertama saya. Alhamdulillah diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Dayang dan Hannah. Terima kasih Universal Music Malaysia. Sejujurnya, saya sangat teruja menjayakan projek ini,” kata Sophia pula.

“Cabaran nak siapkan lagu ini, pertamanya saya agak sukar untuk mencari melodi untuk rap. Sebab lagu raya, ia kena ceria dan mudah didengar. Jadi nak cari melodi dan untuk orang terima rap dalam lagu raya ini agak sukar.

“Pada mulanya saya tak jumpa melodi, tapi selepas itu Alhamdulillah diberikan ilham dapatlah jumpa melodi. Saya ambil masa sehari untuk siapkan ‘verse’ saya. Ada juga input daripada Mike Chan untuk tambah sikit pada bahagian hujung korus.

“Bagi MV pula, cabaran adalah kerana berpuasa. Jadi cepat dahaga, penat berganda dan macam-macam lagi. Tapi kita cuba untuk kuatkan diri walaupun penggambaran dari petang hingga sahur. Kami cuba juga habiskan dengan tenaga dan positiviti yang ada. Tapi perkara yang paling menarik adalah saya dapat bekerja dengan Dayang dan Hannah untuk siapkan lagu ini,” katanya.

Sama seperti Dayang dan Hannah, Sophia juga berharap lagu RAYA TERBAIK mendapat sambutan daripada pendengar.

“Harapan saya agar pendengar akan sentiasa gembira, ceria bersama keluarga, bila dengar lagu ini. Kalau boleh, banyakkan lagi video di Instagram, TikTok dengan  menggunakan lagu ini. Saya juga harapkan agar kolaborasi kami ini diterima dengan hati terbuka. Harapnya suka dengan rapper saya juga,” katanya.

RAYA TERBAIK kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Manakala tayangan muzik video itu dijadualkan pada hari Jumaat berikutnya, 29 April 2022 jam 9 malam.