Rasulullah SAW sendiri juga gunakan cara berbeza ketika memberikan nasihat

Rasulullah SAW sendiri juga gunakan cara berbeza ketika memberikan nasihat

APABILA bercakap tentang nasihat, sudah tentu ia sesuatu yang baik, bukan?

Atas sebab itu, setiap muslim perlu menghormati nasihat.

Ia kerana agama Islam itu sendiri berdiri di atas nasihat.

Daripada Abi Ruqayyah Tamim ibn ‘Aus al-Dari RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Agama itu nasihat”.

Kami bertanya: “Untuk siapa, ya Rasulullah?”

Sabda baginda: “Untuk ALLAH, untuk kitab-Nya, untuk rasul-Nya dan untuk imam-imam dan pemimpin-pemimpin kaum Muslimin dan untuk sekalian orang Islam.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan agama Islam itu berdiri atas nasihat.

Namun, ada sebilangan masyarakat menganggap nasihat sebagai pemecah-belah atau memberikan alasan bahawa ia tidak berhikmah.

Hikmah ini adalah berkata benar pada laras bahasa dan situasi yang tepat.

Sebenarnya, hikmah itu tidak semestinya sentiasa berlemah lembut, sebaliknya, adakalanya, perlu kita bercakap dengan tegas.

Malah, Rasulullah SAW sendiri juga menggunakan cara berbeza ketika memberikan nasihat.

Sebagai contoh, Ka’ab bin Malik RA tidak pergi ke medan Tabuk untuk berperang, lalu baginda memulaukan beliau.

Sebaliknya, seorang Badwi yang membuang air kecil di dalam masjid, baginda hanya membiarkan. Kerana apa? Ia disebabkan beliau baru hendak berjinak-jinak dengan Islam.

Barangkali, jika yang melakukan perkara itu adalah sahabat yang rapat dengan Nabi, baginda akan memarahinya.

Itulah yang dinamakan nasihat secara berhikmah.

Marilah kita saling menasihati sesama masyarakat andainya ada yang berbuat khilaf.

(Sumber: Dr Muhamad Rozaimi Ramle)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *