Raja Muda Perlis rasmi cawangan Richiamo Coffee ke-88

Raja Muda Perlis rasmi cawangan Richiamo Coffee ke-88

SHAH ALAM – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli bagi merasmikan cawangan baharu Richiamo Coffee ke-88 yang terletak di Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Khamis lalu.

Pembukaan rangkaian kedai kopi premium itu merupakan yang ketiga di Perlis selepas cawangan Richiamo Coffee di Kangar Jaya dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Cawangan ke-88 di UniMAP itu dimiliki dan dikendalikan oleh Empire Coffee Works serta ia juga merupakan cawangan kedua syarikat itu dengan yang pertama ialah di Wisma Bernama Kuala Lumpur.

Pengarah Empire Coffee Works, Wan Najib Wan Daud berkata, pembukaan cawangan di UniMAP adalah hasil perbincangan dengan pengurusan tertinggi universiti itu berikutan kepercayaan dan komitmen yang diberikan oleh pemegang lesen Richiamo Coffee Sdn Bhd.

**media[1635099]*

“Sebagai sebuah syarikat milik 100 bumiputera Richiamo Coffee selalu menekankan agar jenama ini boleh ditembusi oleh semua golongan lapisan masyarakat agar ia boleh berkembang sejajar dengan usaha kebelakangan ini”, katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengiringi Baginda ke majlis perasmian itu ialah puteri sulungnya, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pejabat Naib Canselor UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Selain menghidangkan pelbagai variasi kopi, kek dan pastri, Richiamo Coffee di UniMAP turut menghidangkan menu makanan barat serta tempatan seperti patin masak tempoyak dan asam pedas tenggiri.



Sumber