#QuranHour berjaya libat semua peringkat umur

#QuranHour berjaya libat semua peringkat umur

SEREMBAN – Program Malaysia #QuranHour dilihat berjaya menyemai budaya pembacaan al-Quran dalam kehidupan masyarakat beragama Islam tidak mengira peringkat umur.

Imam 1 Masjid Negeri, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Rijal Ghazali berkata, program itu dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

“Seperti mana diketahui bahawa #QuranHour memilih surah al-Kahf berpandukan 10 ayat awal dan 10 ayat akhir.

“Antara pesan utama ayat ini kepada rakyat agar berpegang teguh dengan nilai-nilai al-Quran antaranya syukur, tidak syirik, yakin bantuan ALLAH amat luas dengan panduan dalam al-Quran dan berdoa agar sentiasa diberikan rahmat juga petunjuk daripada ALLAH,” katanya ketika ditemui pada Program Malaysia #QuranHour di Masjid Negeri di sini hari ini.

Hadir sama Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli dan Imam Besar Masjid Negeri, Al Fadhil Dr Muhammad Yusry Mazlan Al-Hafiz.

Suasana ketika majlis berlangsung.

Suasana ketika majlis berlangsung.

Lebih 500 individu daripada agensi kerajaan, swasta tidak melepaskan peluang menyertainya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya yakin program itu akan terus diperhebat melalui hasil kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Di peringkat negeri, program ini digerakkan bersama JHEAINS, Masjid Negeri, Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan Wanita Perkim Seremban sekaligus mencapai objektif selain menyuburkan lagi al-Quran dalam kalangan masyarakat beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya juga telah membuat perbincangan awal dalam melaksanakan program itu di 70 pusat tahfiz di negeri ini.

“Usaha ini mendapat sokongan daripada pihak terlibat dan budaya pembacaan al-Quran melalui #QuranHour ini sudah menjadi trend dan bukan lagi sesuatu yang baru.

“Program ini memberi impak positif yang mana dapat mengajak umat Islam kembali kepada al-Quran,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *