‘Pukul dengan niat bukan menzalimi jalan terakhir didik isteri’

‘Pukul dengan niat bukan menzalimi jalan terakhir didik isteri’

SHAH ALAM – Memukul dengan niat bukan menzalimi dibolehkan sebagai jalan paling terakhir untuk mendidik isteri.

Ketua Pegawai Eksekutif Ibrah Paradigm Training & Consulting, Ustaz Syaari Ab Rahman berkata, kalimah boleh pukul isteri dalam surah Surah Al-Nisa ayat ke-34 juga bukanlah tiket kepada suami untuk menjatuhkan hukuman kerana tidak berpuas hati dengan kelakukan dan ketaatan isteri.

“Nabi Muhammad SAW tidak pernah memukul isteri baginda maka suami-suami yang mempergunakan ayat ini bagi memukul isteri mereka mesti berfikir berkali-kali adakah kita melakukan sesuatu mengikut agama atau hanya sebenarnya menunggang agama,” katanya ketika menjadi panelis Program Celik Al-Quran 4:34 bertajuk ‘Benarkah Islam bolehkan suami memukul isteri?’ anjuran Akademi Dr Har dan Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd (WBS) disinergikan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Ahad.

Program itu turut menampilkan Pengarah Sebarkan Bahagia Resources, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin sebagai panelis manakala Pengasas Akademi Dr Har, Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj sebagai moderator.

Menurutnya, tiga kaedah boleh digunakan suami iaitu nasihat, tinggalkan tempat tidur bersama isteri dan akhir sekali jika tidak berjaya, ALLAH SWT benarkan pukul sebagai cara yang ketiga namun nabi melarang pukul isteri di wajah dan sebat.

Dari kiri moderator, Dr Harlina Halizah, Fatimah Syarha dan Syaari dalam Program Celik Al-Quran 4:34 bertajuk ‘Benarkah Islam bolehkan suami memukul isteri?’ dianjurkan Akademi Dr Har dan Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd (WBS) disenergikan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Ahad. - Foto SINAR HARIAN/HALIM WAHID

Dari kiri moderator, Dr Harlina Halizah, Fatimah Syarha dan Syaari dalam Program Celik Al-Quran 4:34 bertajuk ‘Benarkah Islam bolehkan suami memukul isteri?’ dianjurkan Akademi Dr Har dan Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd (WBS) disenergikan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Ahad. – Foto SINAR HARIAN/HALIM WAHID

“Bila kita perhatikan dengan teliti maka kita perlu berhati-hati untuk mengenakan kaedah pukul kepada isteri yang ada tanda-tanda kederhakaan.

“Paling penting bila membaca ayat ini, suami perlu tahu adakah dia benar-benar amanah dengan nafkah yang diperintahkan, berikan keselamatan kepada keluarga atau adakah sudah menjalankan tanggungjawab sebagai suami,” katanya

Menurutnya, sebagai wanita juga pastinya kurang senang dengan ayat dari surah berkenaan (Al-Nisa) kerana terdapat perkataan ‘pukul’ sedangkan dalam surah yang sama ALLAH SWT sebut dalam ayat 40 ditekankan supaya tidak lihat isu berkenaan daripada persepsi orang.

“Jangan hanya baca terjemahan, ALLAH SWT sendiri menjelaskan, ALLAH tidak zalim walau sebesar zarah.

“Jadi maksudnya macam mana boleh pukul isteri tetapi tidak zalim sebab ayat al-Quran tidak akan bertentangan sama sekali bahkan ianya saling mengukuhkan antara satu sama lain,” katanya.

Jelasnya, ALLAH SWT menurunkan ayat berkenaan bukan untuk menzalimi tetapi untuk mengelak salah faham dan perlu difahami dari awal surah itu.

“Ayat satu mana-mana surah sekalipun main peranan untuk beri gambaran keseluruhan surah bagi membina perspektif yang betul.

“Sebab ayat satu dalam surah Al-Nisa, ALLAH SWT menyebut, lelaki dan wanita dicipta dari acuan yang sama,ditiupkan roh daripada tanah dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, jadi sekiranya mereka bergabung atas dasar rumah tangga mereka boleh impak besar kepada masyarakat,” katanya.

Jelasnya lagi, surah itu menerangkan tentang hubungan antara suami dan isteri perlu difahami keseluruhannya bagi mengelak ia disalah tafsir.

“Maksudnya di sini, pukul yang menghidupkan bukan untuk mematikan, pukul bukan dalam konteks negatif, menghina tetapi pukul sebagai langkah untuk mendidik dan menyelamatkan.

“Mengambil contoh bagaimana Nabi Muhammad SAW memerintahkan agar anak berumur 10 tahun dirotan kerana sengaja meninggalkan solat kerana tindakan itu perlu kepada pendidik (ibu bapa) yang mahu melakukan perubahan,” katanya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber