PTSB, ToyyibGold, Virtualizer cipta sistem simpan emas

PTSB, ToyyibGold, Virtualizer cipta sistem simpan emas

SYARIKAT Perfect Triangle Sdn Bhd (PTSB), ToyyibGold Sdn Bhd dan Pengurus Virtualizer LLP menerusi satu Perjanjian Persefahaman (MoU) akan membangunkan sebuah sistem, Hope Gold bagi membolehkan orang ramai menyimpan emas sambil berbelanja.

Majlis menandatangi MoU berkenaan melibatkan Pengarah PTSB, Azman Bidin, Ketua Pegawai Eksekutif ToyyibGold Sdh Bhd, Zaiem Abu Bakar, dan Pengurus Virtualizer LLP, Muhammad Firdhaus Khairil Mokhtar sambil disaksikan oleh Mantan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.

Zaiem berkata, sistem tersebut membolehkan pengguna yang berdaftar dalam program Hope Gold untuk menetapkan jumlah peratus emas yang ingin disimpan daripada setiap transaksi menerusi platfrom ToyyibPay di vendor-vendor yang berdaftar dengan pihak tersebut.

Menurutnya, setelah jumlah emas simpanan mencapai tahap tertentu, pengguna boleh menukarkan nilai emas terkumpul tersebut kepada wang tunai, perhiasan emas daripada panel-panel emas dilantik atau jongkong emas.

“Matlamat MoU ini adalah untuk mencipta satu sinergi antara Perfect Triangle, kami sebagai penyedia platform dan Virtualiser mengolah sistem ini mengikut keperluan perniagaan.

“Saya harap program ini dapat membantu ramai orang untuk menyimpan emas kerana dulu hanya orang berada sahaja boleh berbuat demikian tapi kini orang berpendapatan rendah terutamanya generasi muda dan peniaga juga boleh menyimpan emas.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman antara PTSB, ToyyibGold Sdn Bhd dengan Virtualizer LLP di Koptown EDC Hotel Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Azman berkata, prospek yang berminat boleh mula mendaftar di laman sesawang hopegold.my pada harga RM39 dan akan mendapat 0.02 gram emas dimasukkan ke dalam akaun didaftarkan sebagai permulaan.

Katanya, emas dipilih untuk sistem ini kerana sifatnya kalis inflasi, konsisten dan mampu bertahan, malah nilainya boleh meningkat untuk kegunaan masa depan berbanding mata wang yang terdedah kepada faktor ekonomi luaran.

“Jika sebelum ini kita pergi ke kedai atau pasar raya untuk membeli barangan dan kita diberikan baucar selepas membeli, namun jika vendor tersebut berdaftar di bawah program ini, pelanggan boleh mendapat emas untuk dibawa pulang selepas pembelian.

“Kita sasarkan seramai 10,000 hingga 20,000 ahli akan mendaftar untuk projek ini sepanjang tiga hingga enam bulan pertama tahun ini, tapi kita harapkan mahu capai 100,000 hingga 200,000 keahlian dalam tempoh 12 bulan,” katanya.

Sumber