Prospek lebih cerah bagi Malaysia pada 2021

Prospek lebih cerah bagi Malaysia pada 2021

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka mencatatkan pemulihan ekonomi yang kukuh pada 2021, didorong oleh langkah-langkah fiskal dan monetari yang lebih baik, kesan asas yang rendah dan pemulihan dalam pertumbuhan global, menurut Public Investment Bank Bhd.

Katanya, ringgit dan pasaran modal juga akan pulih selaras dengan sentimen pelabur yang baharu terhadap pasaran sedang pesat membangun.

“Semua ini dapat dicapai, berdasarkan cabaran yang semakin berkurangan daripada Covid-19 yang dijangka dapat dibendung dengan baik pada 2021,” katanya dalam nota hari ini.

Bank pelaburan itu berkata, sentimen pelabur dijangka mendapat dorongan daripada prospek lebih daripada satu vaksin yang diluluskan untuk Covid-19 meningkatkan lagi liputan global terhadap pandemik dan seterusnya menggalakkan momentum pertumbuhan global.

Sektor swasta akan kekal menjadi pemacu pertumbuhan yang utama, dengan penggunaan swasta dijangka meningkat melebihi purata sebelum ini, didorong oleh inisiatif pro-penggunaan secara besar-besaran yang dilaksanakan pada 2020 dan 2021.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang sebanyak 6.2 peratus pada 2021, berbanding anggaran penguncupan sebanyak 4.7 peratus pada tahun ini.

Katanya, Malaysia turut menghadapi persimpangan pada 2021, terutamanya dengan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 pada suku pertama 2021 dan kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan pada akhir tahun itu.

“Kami menjangka perjalanan udara akan kembali normal, memberi prospek yang baik kepada sektor pelancongan walaupun secara berperingkat. Ini akan mendorong aktiviti dalam sektor perkhidmatan.

“Ini dijangka diterajui oleh rantau ASEAN berikutan prospek ekonomi yang lebih cerah dan mata wang yang kompetitif, yang dapat memacu aliran masuk modal ke rantau ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya di peringkat dalaman, risiko kepada pertumbuhan dijangka daripada beberapa sumber, seperti jangkitan Covid-19 yang baharu dan dalam skala besar, ketidaktentuan politik yang berpanjangan serta peningkatan aliran keluar modal yang mendadak.

Risiko luaran dijangka daripada normalisasi yang tidak dijangka dalam kadar dasar negara-negara maju, perubahan dalam dasar luar dan perniagaan Amerika Syarikat (AS), perjanjian perdagangan AS-China kedua yang kurang menggalakkan dan impak daripada risiko geopolitik yang dijangka meningkatkan premium risiko ke atas minyak.

Prospek Ringgit: Turun Naik Akan Berkurangan

Bank pelaburan itu berpendapat, kenaikan ringgit akan didorong oleh gabungan faktor luaran dan dalaman termasuk pemulihan harga minyak, normalisasi dasar di Malaysia dan di rantau ini, sentimen pelabur yang baharu terhadap pasaran sedang pesat membangun dan perjanjian perdagangan AS-China kedua yang menggalakkan.

Prospek pemulihan ekonomi yang kukuh selepas Covid-19 dan kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada 2021 akan turut meningkatkan mata wang tempatan.

Pemacu ini akan mendorong ringgit berada pada purata antara RM4.00 dan RM4.05 berbanding dolar US pada 2021 (setakat ini pada tahun ini: RM4.21 berbanding dolar AS), katanya, sambil menambah turun naik ringgit akan dikurangkan oleh dasar status quo negara-negara maju yang akan kekal hingga 2022.

Bank itu juga berkata, inflasi dijangka meningkat semula kepada +1.6 peratus pada 2021 daripada anggaran -0.6 peratus pada 2020 berikutan pemulihan harga minyak dan permintaan.

Katanya, inflasi yang meningkat turut positif kepada ekonomi berikutan ia dapat meningkatkan pelaburan modal yang mencatatkan penurunan yang ketara dalam tempoh setahun yang lepas.

“Inflasi yang tinggi akan menjadikan kadar faedah sebenar lebih kompetitif, yang akan dapat menarik lebih banyak aktiviti pinjaman.

“Kadar faedah sebenar yang kompetitif sebanyak +0.50 peratus pada 2021 berbanding 3.9 peratus pada 2019 dapat mengekalkan minat pelabur untuk mengambil risiko dalam aset berisiko,” katanya.

Mengenai indeks pengeluaran perindustrian, katanya indeks itu dijangka pulih pada 2021, didorong oleh pemulihan dalam sektor pembuatan dan elektrik selaras dengan prospek pertumbuhan yang kukuh pada tahun itu.

Sementara itu, FBM KLCI dijangka mengakhiri 2021 pada 1,750 mata.

Prospek Lebih Baik Bagi Komoditi

Harga komoditi akan meningkat semula pada 2021, didorong oleh kejayaan dalam membendung Covid-19 di peringkat global, menurut bank pelaburan itu, sambil menambah peralihan dalam prospek ini akan meningkatkan permintaan terhadap produk komoditi berikutan pendapatan boleh guna yang tinggi dan pasaran pekerjaan yang lebih baik.

“Kami menjangka pemulihan dalam harga komoditi utama, dengan pengecualian kepada minyak berikutan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan yang berterusan.

“Normalisasi dalam rantaian bekalan global dan mobiliti yang tidak terhad akan menjadi faktor tambahan untuk meningkatkan permintaan terhadap produk komoditi global, manakala tempoh berpanjangan untuk persekitaran kadar faedah AS yang rendah yang dijangka berterusan hingga 2022 menjadi satu lagi pemangkin yang akan memacu permintaan terhadap produk komoditi global,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata pemulihan harga minyak sepenuhnya akan mengambil masa, berikutan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan memerlukan masa untuk berada di landasan yang betul.

Katanya, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka mengambil pendekatan secara berperingkat untuk pengeluarannya kembali normal selepas Covid-19 bagi mengelak tekanan yang tidak perlu ke atas harga minyak.

“Kami menjangka harga minyak mentah (Brent) pada purata antara AS$45 dan AS$50 setong pada 2021 (setakat ini pada tahun ini: AS$42), dijangka lebih kukuh, jika ekonomi global pulih lebih cepat daripada jangkaan,” katanya. – Bernama



Sumber