Program Malaysia#QuranHour meriah walaupun secara maya

Program Malaysia#QuranHour meriah walaupun secara maya

KLANG – Program #QuranHour pada Isnin mendapat sambutan menggalakkan walaupun dilaksanakan secara dalam talian.

Penggerak Rumah Ngaji Wisma Antik di Kampung Delek Baru, di sini, Hamidah Wiji berkata, pihaknya tidak pernah jemu menyertai program tersebut sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Menurutnya, serama 38 peserta menyertai program menerusi aplikasi Google Meet dan mereka terdiri daripada muridnya dan penduduk setempat termasuk suri rumah dan pesara guru.

“Ada banyak Rumah Ngaji di sini yang menyertai program #QuranHour. Jadi penduduk bebas menyertai Rumah Ngaji yang melaksanakan program ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Hamidah sentiasa menyokong program #QuranHour yang dilaksanakan ini kerana memberi banyak manfaat selain dapat membantu mendekatkan diri kepada al-Quran.

Sempena program tersebut, beliau turut menjemput guru Pengajian Ilmu, Akademi An-Nawawi, Fathan Hussin untuk membuat kesimpulan berkenaan perkongsian berkaitan program.

“Selepas #QuranHour, kita mengadakan kelas pengajian dan (nama) Fathan teruja melihat inisiatif yang diadakan oleh Rumah Ngaji ini untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Beliau juga tidak pernah menyertai program ini,” katanya.

Program Malaysia#QuranHour yang berlangsung secara serentak seluruh negara turut dijayakan oleh warga Karangkraf melalui aplikasi Zoom Meeting.

Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang berkata, program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat.

“Pada tahun ini kita laksanakan dalam skala norma baharu dengan mengikuti siaran langsung di televisyen Alhijrah dan beberapa stesen media lain.

“Alhamdulillah program kita mendapat sambutan rakyat Malaysia disertai umat Islam seluruh dunia.

“Kita bersyukur kerana program seperti ini dapat terus dilaksanakan walaupun dalam keadaan terhad,” katanya.

Sumber