Program Komuniti Ukay Bijak: Meningkatkan Keyakinan Pelajar Menghadapi SPM 2024

Program Komuniti Ukay Bijak merupakan sebuah projek rintis yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Villa Teratai di Ukay Perdana, yang bertujuan untuk membantu golongan remaja yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan penuh keyakinan dan semangat.

Program ini merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk Masjid Ukay Perdana, Pejabat Ahli Parlimen Ampang YB Pn. Hjh. Rodziah Ismail, Skop Productions Sdn. Bhd., Lembaga Zakat Selangor (LZS), serta Restoran Paklong Ikan Bakar dan Restoran Nasi Vanggey, yang kesemuanya merupakan entiti dari komuniti Ukay Perdana.

Inisiatif ‘Program Komuniti Ukay Bijak’ ini khusus untuk golongan remaja yang akan menghadapi peperiksaan SPM 2024, dengan penekanan kepada motivasi pelajar serta teknik dan panduan untuk menjawab soalan bagi empat subjek teras SPM. Program ini terbuka kepada semua remaja tanpa mengira latar belakang, dari golongan T20 hingga golongan Asnaf, dan akan berlangsung selama dua hari dengan had penyertaan sebanyak 50 orang peserta sahaja.

Selain daripada aspek akademik, program ini juga mengutamakan nilai insaniah, dengan menggalakkan golongan remaja memahami bahawa masjid adalah pusat penting untuk pembangunan diri, baik dari segi spiritual mahupun akademik. Salah satu fokus utama adalah untuk menggalakkan remaja supaya melaksanakan solat berjemaah di masjid, sambil mengajar mereka tentang adab dan kelakuan yang sepatutnya ketika berada dalam kawasan masjid.

Program Komuniti Ukay Bijak

Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh En. Arzaman Ariffin, yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana (Baru). Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Lembaga Masjid Ukay Perdana serta barisan Jawatankuasa Kerja (AJK) Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana yang sama-sama memberikan sokongan kepada program ini.

Untuk pengetahuan, Persatuan Penduduk Villa Teratai Ukay Perdana adalah sebuah persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Persatuan ini aktif dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif di kawasan Ukay Perdana, demi meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan komuniti setempat.