PPB Properties beri nafas baharu kepada Bedong

PPB Properties beri nafas baharu kepada Bedong

PPB Properties yang merupakan divisyen hartanah PPB Group Berhad telah melancarkan Lumina Bedong, perbandaran pertama Bedong, Kuala Muda, Kedah yang bakal menghidupkan semula komuniti, mengubahnya menjadi satu perbandaran kontemporari dan meriah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Low Eng Hooi berkata, dibina dengan keutamaan kepada masyarakat, Lumina Bedong sedia untuk menambah baik dan memodenkan bandar tersebut dengan menyerlahkan ruang sentrik orang ramai, pengalaman hidup baharu serta ruang komersial yang maju.

Menurutnya, perbandaran yang terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 92 hektar ini menampilkan kira-kira 1,500 unit rumah teres mampu milik dan dibina secara strategik dengan pelbagai kemudahan.

“Apabila siap, perbandaran itu akan menempatkan taman seluas 2.2 hektar yang merupakan taman rekreasi terbesar di kawasan tersebut. Ia memberikan peluang kepada penduduk untuk merasai kemudahan komuniti seperti trek berjoging dan berbasikal, laluan refleksologi dan kawasan permainan kanak-kanak.

“Lumina Bedong dijangka bakal menarik pasangan yang baru mendirikan rumahtangga atau keluarga muda yang mencari rumah pertama mereka. Bukan itu sahaja, ia juga diharapkan dapat menarik keluarga dari kawasan sekitar yang ingin menaik taraf kepada rumah yang lebih baharu dan lebih luas dalam perbandaran induk serba lengkap yang terancang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada Fasa 1, PPB Properties akan melancarkan 221 unit rumah teres satu setengah tingkat dan satu tingkat.

“Pusat tumpuan rumah kediaman ini ialah taman seluas 0.93 hektar dengan pelbagai kemudahan, termasuk gelanggang futsal, denai joging, gimnasium terbuka dan tanah permainan kanak-kanak, sesuai untuk keluarga.

“Perbandaran itu juga akan terdiri daripada hab komersial seluas 9.3 hektar, menjadikannya pembangunan komersial terbesar dalam kawasan tersebut. Hab komersial ini merangkumi peruncitan dengan tawaran yang pelbagai sesuai untuk orang dewasa yang bekerja, keluarga dan kanak-kanak.

“Selain memberikan kemudahan kepada penduduk, ruang ini akan memacu perniagaan baharu, peluang pekerjaan untuk masyarakat dan menarik orang ramai ke Bedong,” ujar beliau.

Tambah Eng Hooi, syarikat berkenaan telah membina reputasi cemerlang dalam menghasilkan ruang kediaman, pusat membeli belah dan komersial bernilai tinggi sejak 40 tahun yang lalu.

“Syarikat ini juga telah membangunkan projek-projek yang berjaya di Cheras, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Dengan pelancaran baharu Lumina Bedong, syarikat itu kini bersiap sedia untuk melebarkan sayap ke wilayah Utara.

“Dengan pembangunan Lumina Bedong, kami bersedia untuk merancakkan semula dan mengubah landskap Bedong. Kami berharap dapat memacu landskap sosio-ekonomi kawasan itu melalui komponen kediaman, komersial dan rekreasi kami.

“Selain itu lokasinya juga strategik di sepanjang jalan utama Alor Setar-Sungai Petani, dengan pelbagai kemudahan berdekatan seperti sekolah dan unit perniagaan. Lumina Bedong mempunyai anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM900 juta dengan sasaran siap pada tahun 2035,” katanya lagi.

Sumber