PNB umum Rangka Kerja Kelestarian baharu

PNB umum Rangka Kerja Kelestarian baharu

SHAH ALAM – Syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan Rangka Kerja Kelestarian merangkumi isu-isu penting berkaitan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, syarikat itu bertanggungjawab melaksanakan perubahan bagi memastikan peralihan teratur dan saksama ke arah ekonomi mampan selaras peranannya sebagai pemegang amanah kekayaan dan aset Malaysia yang dipercayai.

“Sebagai salah satu institusi pelaburan terbesar di Malaysia, PNB memang bertanggungjawab untuk memimpin melalui teladan dalam menangani risiko perubahan iklim di samping menitikberatkan aspek-aspek sosial dan tadbir urus.

“Pelaksanaan rangka kerja ini akan mengetengahkan komitmen organisasi kami dalam mencapai objektif. Kami percaya, pelaksanaan kelestarian pelaburan akan membawa peralihan pada masa depan yang lebih mampan.

“Tumpuan dan komitmen terhadap risiko perubahan iklim akan membawa ke arah dunia yang lebih baik bukan sahaja kepada pemegang amanah PNB tetapi juga kepada generasi yang akan datang,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Khamis.

Menurutnya, 10 komitmen di bawah tiga teras ESG akan menyaksikan penglibatan syarikat secara proaktif dengan mengiktiraf keperluan untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perkembangan iklim dan landskap kelestarian.

Ahmad Zulqarnain berkata, cara baharu menjalankan perniagaan ini akan mewujudkan manfaat yang bermakna untuk PNB, syarikat pelaburan, rakan kongsi, pihak berkepentingan lain dan jutaan rakyat Malaysia.

“Untuk teras persekitaran, PNB berusaha untuk menyelaraskan usaha kelestariannya dengan tiga komitmen iaitu Syarikat Sifar Bersih menjelang 2025, mencapai Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050 dan melabur RM10 bilion dalam aset Hijau dan Peralihan menjelang 2030.

“Untuk teras sosial pula, PNB bermatlamat untuk menangani isu-isu mengenai ekuiti dan keterangkuman. Ini termasuk mengambil pendirian tegas terhadap isu hak buruh demi mengukuhkan lagi Rangka Kerja Pengawasan yang dilancarkan pada 2020.

“Manakala, untuk teras tadbir urus pula, PNB bertekad menjadi lebih telus dan aktif secara strategik dalam melibatkan isu berkaitan ESG dan perubahan iklim,” katanya.

Sumber