PNB raih untung RM17 bilion

PNB raih untung RM17 bilion

KUALA LUMPUR – Aset bawah pengurusan (AUM) Permodalan Nasional Bhd (PNB) naik 6.9 peratus kepada RM298.5 bilion pada 2018 berbanding RM279.2 bilion pada 2017, walaupun terdapat banyak cabaran yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global dan pasaran kewangan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata pertumbuhan AUM disokong oleh dana unit amanahnya, yang menyaksikan unit dalam edaran meningkat 7.9 peratus tahun ke tahun kepada 236.6 bilion, manakala jumlah akaun naik kepada 13.8 juta daripada 13.2 juta, mencerminkan keyakinan pemegang unit dalam PNB dan 14 dana unit amanahnya.

“Pendapatan bersih pro forma yang disatukan PNB kekal stabil sebanyak RM17.0 bilion pada 2018 berbanding RM17.7 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam Laporan Tahunan 2018 PNB yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, Zeti berkata PNB berjaya mengagihkan RM15.0 bilion sebagai pengagihan pendapatan dan bonus untuk tahun itu, merupakan yang terbesar sejak penubuhannya.

Dari segi penawaran produk, PNB berjaya melancarkan dua dana harga pembolehubah baharu, iaitu ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, yang mencatatkan prestasi yang menggalakkan dengan lebih 800 juta unit dijual sehingga akhir 2018.

Sementara itu, Zeti berkata perkembangan di seluruh dunia pada 2018 amat tidak seimbang apabila ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat, berkembang dengan pesat manakala ekonomi maju lain, dan ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, mencatatkan pertumbuhan yang sederhana.

“Pada masa sama, normalisasi dasar monetari di Amerika Syarikat mempengaruhi aliran keluar dana asing daripada pasaran sedang pesat membangun, manakala kebimbangan mengenai harga minyak, ketegangan perdagangan yang meningkat dan perkembangan geopolitik memberi kesan kepada sentimen dalam pasaran kewangan.

“Ketidaktentuan yang meningkat menyaksikan pasaran saham global rendah pada akhir tahun. Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KL tempatan merosot sebanyak 5.9 peratus pada 2018, perubahan arah yang ketara daripada peningkatan yang dicatatkan oleh ekuiti awam pada 2017,” katanya. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *