PIKOM sambut baik pengumuman cukai digital enam peratus

PIKOM sambut baik pengumuman cukai digital enam peratus

PIKOM, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menyokong pendirian kerajaan untuk mengenakan cukai digital sebanyak enam peratus ke atas penyedia perkhidmatan asing pada 1 Januari 2020.

Cukai enam peratus itu akan dikenakan terhadap perkhidmatan dalam talian diimport, termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah berkata cukai digital mewujudkan tahap sama rata untuk pemain tempatan.

“Di bawah rejim cukai semasa, jualan perniagaan kepada perniagaan telah dikenakan cukai, bagaimanapun, jualan perniagaan asing kepada pengguna tempatan, khususnya untuk barangan dan perkhidmatan digital, tidak dikenakan cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Negara-negara lain seperti Singapura, New Zealand, Australia, Taiwan, Norway, Afrika Selatan dan Jepun telahpun mempunyai cukai seumpama itu atau peraturan mengenai transaksi berkaitan digital yang diimport.

New Zealand, Rusia dan Norway ketika ini mengenakan cukai yang lebih tinggi – masing-masing pada 15 peratus, 18 peratus dan 25 peratus.

“Sebagai perbandingan, cukai digital Malaysia sebanyak enam peratus boleh dianggap rendah,” kata Ganesh.

PIKOM mewakili industri ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di Malaysia dan keahliannya terdiri daripada lebih 1,000 syarikat yang terlibat dalam produk dan perkhidmatan ICT yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada jumlah perdagangan ICT Malaysia. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *