Pharmaniaga sasar pasaran baharu di ASEAN, Eropah

Pharmaniaga sasar pasaran baharu di ASEAN, Eropah

KUALA LUMPUR – Pharmaniaga Bhd menyasarkan pasaran baharu di ASEAN dan Eropah dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukannya di luar negara.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, syarikat farmaseutikal itu juga sedang memperhalusi kerjasama dengan rakan di Thailand pada akhir bulan ini selain berhasrat memuktamadkan janji niaga dengan pihak-pihak di Filipina menjelang separuh pertama 2022.

Pharmaniaga juga telah menyerahkan permohonan bagi pendaftaran produk di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan negara-negara Eropah seperti Portugal.

“Jumlah penduduk di ASEAN misalnya telah mencecah seramai 700 juta orang dan jika kami dapat menguasai lima peratus daripadanya adalah menyamai seramai 35 juta orang.

“Oleh itu, kami sememangnya berusaha gigih untuk memasuki pasaran baharu tersebut dalam tempoh dua tahun hingga tiga tahun ini dan telah mengenal pasti rakan niaga sesuai bagi mengedar produk-produk terbabit,” katanya kepada pemberita dalam sesi taklimat media secara maya mengenai keputusan kewangan bagi suku keempat syarikat itu pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga juga sedang meneliti usaha penggabungan dan pengambilalihan bagi menyokong pertumbuhan masa depannya.

Syarikat itu yang telah bertapak kukuh di Indonesia sejak 2004, turut berusaha untuk meningkatkan lagi kedudukannya di pasaran yang mempunyai 270 juta orang.

Malah, beliau berkata vaksin Covid-19 dan pasaran Indonesia dijangka kekal sebagai penyumbang utama ke atas perolehan hasil syarikat bagi tahun kewangan 2022.

Menurutnya, permintaan bagi vaksin Covid-19 juga disasarkan berterusan sehingga 2025.

Dalam pada itu, keuntungan bersih Pharmaniaga bagi tahun kewangan 2021 melonjak kepada RM172.15 juta daripada RM27.49 juta bagi tahun kewangan 2020.

Perolehan hasil turut melonjak 77 peratus kepada RM4.82 bilion berbanding RM2.73 bilion, terutamanya disumbangkan oleh penjualan vaksin Covid-19 Sinovac kepada Kementerian Kesihatan dan sektor swasta selain pertumbuhan kukuh daripada konsesi dan bukan konsesi kumpulan serta perniagaan di Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Norai’ni Mohamed Ali berkata, syarikat itu telah memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM295 juta bagi tahun ini, termasuk RM180 juta bagi tujuan logistik dan pengedaran manakala pengeluaran membabitkan RM108 juta.

Sejumlah RM7.7 juta pula disediakan bagi operasi di Indonesia.

Menurutnya, Pharmaniaga akan turut membangunkan lima lagi gudang bercirikan automasi di Lembah Klang, Pantai Timur dan Malaysia Timur dengan pelaburan sebanyak RM180 juta dalam tempoh lima tahun akan datang. – Bernama

Sumber