Petronas Gas Melaka raih anugerah keselamatan pekerja

Petronas Gas Melaka raih anugerah keselamatan pekerja

PETRONAS Gas Melaka terpilih sebagai penerima anugerah utama MiSHA Principle of Prevention Platinum Award 2022 yang dianjurkan oleh Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA).

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, MiSHA berkata, pemilihan tersebut berdasarkan amalan terbaik melalui prinsip-prinsip pencegahan dan kawalan risiko di tempat kerja dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat.

Antara yang dinilai adalah kaedah kawalan dan pengurusan risiko yang diterapkan di tempat kerja dan dianalisis secara sistematik mengikut prinsip-prinsip pencegahan.

“Terdapat sembilan prinsip utama dalam prinsip pencegahan iaitu bermula dengan mengelakkan risiko tersebut daripada berlaku di tempat kerja. Jika ia tidak dapat dielakkan, maka turutan berikutnya akan diguna pakai seperti menilai risiko yang tidak boleh dielakkan dan memerangi risiko dari sumbernya.

“Langkah lain ialah menyesuaikan persekitaran kerja kepada individu, mengadaptasi kemajuan teknologi, menggantikan perkara yang berbahaya kepada yang tidak berbahaya, atau yang kurang berbahaya; membangunkan polisi pencegahan keseluruhan yang koheren, memberi keutamaan langkah-langkah perlindungan secara kolektif berbanding langkah-langkah perlindungan individu, dan memberi arahan kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan itu.

Anugerah itu disampaikan pada majlis yang diadakan sempena Persidangan Perindustrian Malaysia mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MiCOSH) 2022 di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Anugerah yang dikenali sebagai MiSHA Inaugural National Excellence Awards on OSH Principle of Prevention (PoP) 2022 merupakan satu usaha pengiktirafan terhadap pelbagai sektor industri yang sentiasa mampan dalam meningkatkan tahap pengurusan risiko keselamatan, kesihatan dan alam sekitar di tempat kerja.

Antara yang diiktiraf adalah Amalan Cemerlang Prinsip Pencegahan dan Kawalan Risiko Di Tempat Kerja; serta Inovasi Pengurusan Risiko di tempat kerja.

Selain itu, pasukan sukarela yang diwujudkan di tempat kerja yang membantu pengurusan risiko tersebut juga diberi pengiktirafan seperti Pasukan Tindakan Kecemasan dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Pada tahun ini, MiSHA memfokuskan kepada prinsip pencegahan dan kawalan risiko yang mana ia adalah selari dengan visi kerajaan memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua pekerja sentiasa terjamin melalui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025.

Sumber