Peserta mahu World #QuranHour diteruskan

Peserta mahu World #QuranHour diteruskan

KUALA TERENGGANU – Peserta program World #QuranHour berharap agar ia diteruskan pada masa akan datang kerana manfaatnya kepada umat Islam.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang, Nur Amalina Abd Manan, 26, berkata, program itu dapat membantu mendekatkan diri dengan al-Quran selain membantu memahami maksud ayat-ayat suci itu.

“Program begini amat bagus sebab tak semua orang ada kesedaran untuk meluangkan masa membaca al-Quran.

“Dengan adanya World #QuranHour, ia dapat memberi kesedaran untuk membaca al-Quran dan dalam masa yang sama turut belajar memahami maksud ayat al-Quran itu,” katanya ketika ditemui sempena program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, secara keseluruhan, program itu mencetuskan impak yang baik.

“Program ini secara automatik dapat mendekatkan hubungan dengan al-Quran. Mereka yang tak pernah membaca al-Quran pun akan ikut serta dan yang jarang membaca al-Quran pun akan membacanya bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta dari Kampung Paloh, di sini, Idham Mazlan, 33, berkata, program itu perlu diteruskan setiap tahun.

“Program membudayakan bacaan al-Quran ini memberi impak yang bagus kepada peserta kerana ia turut memuatkan aktiviti tadabbur al-Quran.

“Dengan adanya aktiviti itu, ia sekali gus dapat membantu peserta memahami dan menghayati al-Quran,” katanya yang baharu pertama kali menyertai program berkenaan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *