Pesan Kemerdekaan Surah al-Kahf

Pesan Kemerdekaan Surah al-Kahf

TANGGAL 30 Ogos ini, seluruh umat Islam di dalam dan luar negara akan bersama-sama membawa Misi al-Kahf yang menjadi tema bagi Malaysia #QuranHour 1440H sempena Hari Kemerdekaan ke-62 tahun ini.

Al-Kahf dipilih sebagai surah tema pada World #QuranHour 1440H untuk dijadikan panduan dalam menghadapi cabaran akhir zaman iaitu iman, harta, ilmu dan kuasa.

Malaysia #QuranHour ke-5 turut memfokuskan Pesan Kemerdekaan Surah Al-Kahf berdasarkan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah berkenaan.

FAZRUL

FAZRUL

Pada Majlis Taklimat Sinergi Media di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam di Selangor pada 14 Ogos lalu, Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkongsi ilmu dalam sesi tadabbur Surah Al-Kahf.

Menurutnya, ayat 1 dalam Surah al-Kahf mengajak kita memuji ALLAH SWT yang memberi nikmat besar iaitu al-Quran. Cabaran kita dalam menuju kemerdekaan pada 31 Ogos depan adalah mengekalkan semua rakyat dalam keadaan lurus.

“Oleh itu, kita memerlukan al-Quran sebagai panduan. Ayat 2 menyebut seksaan yang sangat pedih di sisi ALLAH iaitu neraka. Tetapi sebelum itu, ada badai atau ujian di atas dunia. Terdapat pelbagai ujian yang melanda kepada manusia.

“Jika kita dapat menguruskan ujian tersebut dengan iman dan amal soleh dalam kehidupan, insya-ALLAH kita mendapat ganjaran baik di akhirat iaitu syurga yang kekal di dalamnya, sebagaimana disebut dalam ayat 3,” kata beliau pada program berkenaan di Shah Alam baru-baru ini.


Beliau menambah, antara cabaran badai ialah materialisme. Ia membuatkan seseorang itu berpandangan singkat, tidak sampai ke akhirat.

“Perkara paling ekstrem bagi golongan tersebut apabila mengatakan ALLAH itu ada anak dan meletakkan Tuhan sama taraf dengan makhluk,” katanya.

x-default

x-default

Berpandukan ayat 7 dan 8 pula, katanya, semua di dunia hanyalah perhiasan dan akan hancur akhirnya. Apa yang kekal ialah iman, amal soleh dan islah yang membawa kita sampai ke syurga.

Dalam ayat 9 dan 10 Surah al-Kahf, ujar beliau, ALLAH menceritakan ada orang yang beriman dalam keadaan terpilih, sebagaimana sekumpulan pemuda Al-Kahf. Mereka mentauhidkan diri kepada ALLAH SWT dengan berdoa agar diberi rahmah dan diberi petunjuk yang lurus dalam segala urusan.

“Inilah panduan doa yang kita perlu baca dalam menghadapi cabaran akhir zaman dan terus merdeka. Pertama, kita berdoa agar diberi rahmah ALLAH. Rahmah ini diperlukan di atas muka bumi ini untuk mengekalkan kemerdekaan diri, keluarga, rakyat dan negara.

“Kita amat memerlukan rahmat ALLAH kerana tanpa rahmat, hilang perpaduan dalam negara. Kedua, kita perlu berdoa agar kita mendapat petunjuk yang lurus di atas muka bumi ini sampai ke syurga,” kata Fazrul sambil menjelaskan 10 ayat pertama dalam Surah Al-Kahf disimpulkan dalam 10 ayat terakhir.

Ikuti penjelasan lebih lanjut kupasan 10 ayat terakhir dikaitkan dengan Pesan Kemerdekaan dalam artikel selanjutnya pada 30 Ogos ini.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *