Pesakit di Asia alami kegagalan jantung sedekad lebih muda berbanding pesakit Eropah

Pesakit di Asia alami kegagalan jantung sedekad lebih muda berbanding pesakit Eropah

SERAMAI lebih 26 juta orang mengalami kegagalan jantung di seluruh dunia dan penyakit ini mencatatkan kadar morbiditi dan kematian yang tinggi.

Meskipun kegagalan jantung boleh dialami oleh sesiapa saja pada sebarang usia, kegagalan jantung di negara-negara Asia Tenggara berlaku pada usia yang lebih muda berbanding dengan negara-negara Barat.

Kegagalan jantung di rantau ini mempunyai ciri-ciri klinikal yang lebih teruk, dengan faktor-faktor risiko vaskular seperti hipertensi (tekanan darah tinggi), obesiti (kegemukan) dan diabetes (kencing manis).

Pesakit-pesakit di Asia yang mengalami kegagalan jantung yang stabil juga sekurang-kurangnya satu dekad lebih muda daripada pesakit Eropah.

Oleh yang demikian, terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini di negara kita.

Di Malaysia, kegagalan jantung merupakan punca utama kemasukan hospital dan membentuk enam ke 10 peratus daripada semua kemasukan perubatan, dengan kematian seorang dalam 10 pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Pakar Perubatan dan Perunding Kardiologi, Hospital Serdang, Dr Abdul Muizz Abd Malek menerangkan, kegagalan jantung merujuk kepada keadaan jantung yang tidak boleh mengepam darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh badan.

“Bagaimanapun, ramai orang salah faham dan menyangka bahawa jantung tidak lagi dapat berfungsi bila seseorang mengalami kegagalan jantung.

“Memang menakutkan jika kita didiagnos mengalami kegagalan jantung, tetapi dengan kemajuan perubatan dan teknologi, serta perubahan kepada gaya hidup yang sihat dan sokongan keluarga, pesakit boleh menjalani hidup yang sihat dan normal,” katanya sempena program Heart Failure Camp dianjurkan oleh Jabatan Kardiologi, Hospital Serdang dengan sokongan Novartis Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini

Dalam pada itu, menurutnya, terdapat beberapa simptom kegagalan jantung, dengan kesesakan nafas, buku lali yang bengkak dan kelesuan menjadi simptom-simptom yang paling umum.

Di Malaysia, penyakit arteri koronari dan hipertensi telah dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan jantung dan membentuk hampir 70 peratus daripada semua kes.

“Meskipun pencegahan dan intervensi awal adalah penting, langkah-langkah yang lain seperti memberi kaunseling kepada pesakit dan anggota keluarga mereka tentang kegagalan jantung, mengawal diet dan pengambilan air juga penting.

“Begitu juga senaman dan perubahan gaya hidup seperti kepatuhan mengambil ubat, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol juga penting untuk menguruskan penyakit ini,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *