Pertumbuhan ekonomi global pulih: BNM

Pertumbuhan ekonomi global pulih: BNM

KUALA LUMPUR – Sejak paras terendahnya pada tahun 2020, pertumbuhan ekonomi global telah kembali pulih dengan pantas pada tahun 2021 dibantu oleh bantuan ekonomi dan kewangan berskala besar.

Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), bank pusat berkata, bagaimanapun landasan di hadapan masih berliku kerana terdapat risiko yang boleh menjejaskan prospek pemulihan daripada pandemik Covid-19 ini seperti hutang korporat yang tinggi.

BNM berkata, banyak syarikat terpaksa meningkatkan leveraj untuk mengekalkan operasi mereka semasa pandemik.

“Jika tidak ditangani, hutang tinggi yang dipegang oleh syarikat tidak berdaya maju (zombie) boleh menjejaskan produktiviti jangka panjang,” katanya.

Menurut BNM, iktibar dasar yang diambil daripada episod krisis terpilih menunjukkan bahawa matlamat utamanya adalah untuk mencapai keseimbangan antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang.

“Apabila negara melepasi fasa pandemik yang meruncing, pembaharuan jangka lebih panjang untuk menangani kelemahan ekonomi dan memastikan kekukuhan sistem perbankan menjadi penting,” menurut bank pusat.

BNM berkata, syarikat yang mempunyai paras hutang yang sangat tinggi cenderung untuk mengurangkan pelaburan selepas krisis ekonomi.

Katanya, syarikat tersebut memberikan tumpuan kepada pengurangan hutang dan bukannya melabur dalam keupayaan baharu dan inovasi.

“Sungguhpun begitu, perkara ini tidak terjadi semasa pandemik. Sebaliknya, peningkatan paras hutang adalah sepadan dengan peningkatan dalam pelaburan jangka pendek dan pelaburan tetap,” katanya.

– Bernama

Sumber