Persidangan IIOA bolehkan Malaysia capai ekonomi mampan

Persidangan IIOA bolehkan Malaysia capai ekonomi mampan

Aminuddin (depan) melawat pameran IIOA selepas merasmikan persidangan tersebut di Langkawi pada Selasa. - Foto Bernama

Aminuddin (depan) melawat pameran IIOA selepas merasmikan persidangan tersebut di Langkawi pada Selasa. – Foto Bernama

PERSIDANGAN Persatuan Input-Output Antarabangsa (IIOA) yang julung-julung kali diadakan di Malaysia dan Asia Tenggara memberi manfaat besar kepada negara dalam usaha perancangan dan pembangunan bagi mencapai sebuah ekonomi yang mampan.

Presiden Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata, persidangan itu turut memberi hala tuju kepada negara-negara untuk menggubal dasar serta polisi yang baik menggunakan platform penyusunan data baharu, termasuk kaedah baharu untuk mengumpul data bagi penyelidikan dan statistik.

“Menuju ke hadapan, ia akan membantu seluruh dunia bagi memastikan sesuatu polisi dan dasar yang digubal menggunakan jadual input-output yang lebih terkini yang mencerminkan situasi dan ekonomi di tempat tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Persidangan IIOA ke-28 di sini, pada Selasa yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd Yusof berkata, para penyelidik dan penggubal dasar akan menggunakan jadual input-output yang merupakan satu pangkalan data ekonomi untuk melaksanakan analisis impak di peringkat sektor ekonomi yang lebih terperinci.

“Hal ini memberikan satu analisis menyeluruh bagi memastikan perancangan ekonomi boleh dibuat dengan lebih bersasar dan berasaskan bukti saintifik,” katanya.

Persidangan IIOA ke-28 itu yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 2 September 2022 menghimpunkan seramai 120 pengamal teknik input-output, penyelidik dan penggubal dasar dari 30 buah negara termasuk tujuh penyertaan dari Malaysia.

Daripada keseluruhan peserta, 58 peratus adalah dari Asia, 30 peratus dari Eropah, 11 peratus dari Benua Amerika dan selebihnya dari Benua Afrika.

Antara topik yang diketengahkan adalah ekonomi mampan, analisis rantaian nilai global, analisis bencana, analisis pekerjaan, keperluan buruh asing dan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Persidangan itu terdiri daripada sesi pleno, mesyuarat majlis, perhimpunan agung tahunan dan makan malam persidangan.

Ia dianjurkan secara bersama oleh IIOA, Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA). – Bernama


Sumber