Perodua tembus pasaran Mauritius

Perodua tembus pasaran Mauritius

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperhebatkan lagi langkah dalam mengeksport produknya ke luar negara.

Terbaharu, Perodua melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga di Mauritius yang merupakan pasaran eksport ketiganya selepas Indonesia dan Singapura.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Myvi ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.3 G AT dan 1.5 H AT. Harga atas jalan termasuk insurans masing-masing bermula 699,000 rupee Mauritius (RM81,300) dan 775,000 rupee Mauritius (RM90,140) seunit.

Menurut Zainal Abidin, pengedar tempatan, Raouf Dusmohamud & Co Ltd telah mempamerkan model itu di Defi Media Motor Show yang berlangsung di Swami Vivekananda International Conference Centre pada hujung minggu lalu.

“Perodua Myvi generasi ketiga telah diterima baik di Malaysia. Kami percaya rakyat Mauritius juga akan tertarik kepada ciri-ciri yang terdapat pada model itu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Sebanyak 2,400 kenderaan Perodua telah dijual di sana sejak 1996 termasuk Kancil, Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Myvi generasi pertama dan kedua, Viva, Alza, Axia dan Bezza.

Tambah Zainal Abidin, Perodua berhasrat untuk mengeksport 3,270 kenderaan pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding 2,184 kenderaan pada tahun lepas.

Jelasnya, jumlah eksport setakat ini melebihi 1,600 kenderaan, malah baru-baru ini telah melancarkan model Myvi dan Axia masing-masing di Singapura dan Seychelles.


“Penampilan sulung Myvi di Mauritius akan mendekatkan kami kepada sasaran eksport akhir tahun.

“Secara tidak langsung usaha ini mengukuhkan jenama Perodua di peringkat antarabangsa memandangkan Mauritius terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *