Perodua perkenal pakej servis khas untuk pemilik Axia, Bezza

Perodua perkenal pakej servis khas untuk pemilik Axia, Bezza

Pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza dan ia mampu mengurangkan kos sara hidup mereka. - Foto Bernama

Pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza dan ia mampu mengurangkan kos sara hidup mereka. – Foto Bernama

PERODUA memperkenalkan pakej servis khas kepada pemilik Axia dan Bezza bagi mengurangkan impak kenaikan harga barangan dan dalam masa yang sama mempromosikan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan yang terbaik untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Dalam kenyataan pada Rabu, Perodua berkata, ia adalah maklum balas kepada pakej Auto Rahmah yang baru dilancarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah program Payung Rahmah bertujuan mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat.

“Pakej servis khas ini, yang dikenali sebagai Perodua Auto Rahmah 2023, terdiri daripada diskaun 30 peratus untuk jumlah keseluruhan dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh.

“Bagi melayakkan diri untuk kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran. Kempen ini akan berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei, 2023,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian berbesar hati kerana Perodua telah menyahut saranan kerajaan menerusi pakej Auto Rahmah 2023 dengan menawarkan diskaun untuk penyelenggaraan kenderaan di pusat servis rasminya.

“Hari ini, pemilikan kenderaan telah menjadi satu keperluan. Sehubungan itu, kos pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan bahan api, tol dan penyelenggaraan juga menjadi antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia.

“Kami berharap jenama kenderaan lain juga akan turut mengikuti langkah Perodua bagi membantu memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan mereka yang tersayang semasa berada di jalan raya, terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba. Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam mengurangkan kesan kenaikan harga dan MITI sedang

memanfaatkan peranannya untuk mencapai objektif itu,” kata beliau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza dan ia mampu mengurangkan kos sara hidup mereka. – Bernama

Sumber