Perodua bawa 15 bakat muda murid ke Tokyo

Perodua bawa 15 bakat muda murid ke Tokyo

SERAMAI 15 bakat muda daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) Kementerian Pendidikan Malaysia-Perodua kini berada di Tokyo untuk Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara yang diadakan buat julung kali.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, program tersebut adalah anjuran rakan teknikal dan teknologi Perodua, Daihatsu Motor Company Jepun.

Pertandingan ini akan menyaksikan atlet (murid) Malaysia bersaing dengan bakat-bakat muda dari Jepun dan Indonesia yang dicungkil daripada program badminton di negara masing-masing.

“Penyertaan Perodua dalam Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara ini akan memperkukuhkan lagi komitmen jangka panjang kami kepada sukan yang begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia.”Bagi kami, program ini adalah salah satu daripada perancangan bagi memberi pendedahan awal kepada atlet murid untuk bertanding di peringkat antarabangsa.“Ia juga merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami ke arah pembangunan belia dan modal insan Malaysia,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, sejumlah 40 murid (15 orang dari Malaysia, 15 Jepun dan 10 Indonesia), berumur 9 hingga 12 tahun, bertanding di Stadium Nasional Ajinomoto di Tokyo, Jepun.

“Ramai daripada bakat muda kami di sini tidak pernah menjejakkan kaki ke luar Malaysia sebelum ini. Mereka sangat teruja dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk melawat Jepun di samping dapat berkongsi pengalaman mengenai badminton dengan kenalan baharu dari Jepun dan Indonesia.

“Bagi pihak Perodua, saya mengucapkan terima kasih kepada Daihatsu kerana menganjurkan pertandingan ini antara tiga negara yang menggemari badminton dan juga kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas kerjasama mereka dalam membangunkan generasi bakat badminton Malaysia yang akan datang,” tambah Zainal Abidin.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *