Permaisuri Agong dijangka hadir ke World #QuranHour 2023

Permaisuri Agong dijangka hadir ke World #QuranHour 2023

Tunku Azizah (dua dari kanan) ketika mencemar duli hadir ke Program World #QuranHour 2022. - Foto fail Bernama

Tunku Azizah (dua dari kanan) ketika mencemar duli hadir ke Program World #QuranHour 2022. – Foto fail Bernama

GOMBAK – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berkenan berangkat menghadiri program World #QuranHour yang dianjurkan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Khamis.

Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata, kehadiran Raja Permaisuri Agong dalam program World #QuranHour pada kali ini menunjukkan sokongan padu ke atas usaha memyematkan gelombang gerakan membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat.

“Alhamdulillah, untuk menyatakan sokongan kepada program ini, Raja Permaisuri Agong sendiri yang akan berangkat untuk bersama-sama menjayakan World #QuranHour pada kali ini.

“Raja Permaisuri Agong merupakan Ketua Perlembagaan untuk UIAM, di mana Tunku Azizah menaungi universiti ini.

“Dengan keterlibatan Tunku Azizah ini menampakkan sokongan paling padu bagi saya dan kita menjunjung kasih kerana penglibatannya itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dzulkifli ketika ditemu bual di pejabatnya pada Rabu.

Dzulkifli ketika ditemu bual di pejabatnya pada Rabu.

Ini merupakan kemunculan kedua Tunku Azizah yang pernah menghadiri program tersebut buat kali pertama di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April tahun lalu.

UIAM merupakan salah satu rakan sinergi World #QuranHour yang dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

World #QuranHour 2023 kembali untuk tahun kelapan dengan mengangkat surah Al-Insan bersama tema ‘Memanusiakan Manusia’.

Pemilihan Surah Al-Insan perlu dihayati kerana rata-rata rutin harian masyarakat ketika ini umpama robot yang sekadar berinteraksi melalui medium teknologi sehingga mengetepikan amalan yang sepatutnya.

Dalam pada itu, ujar Dzulkifli, konsep insan ini lebih kepada soal-soal kerohanian dan kehidupan sebagai kejadian ALLAH SWT.

Jelasnya, perkataan insan itu sendiri perlu difahami dengan mendalam oleh masyarakat, bukan sekadar baca sahaja.

“Insan itu bermakna tanggungjawab kita kepada ALLAH SWT sebagai pencipta, mempunyai juga tanggungjawab-tanggungjawab lain yang diberikan oleh agama kepada kita untuk melunaskan amanah-amanah yang telah diberikan.

“Jadi dalam konteks ini saya rasa cukup sesuai dengan pembawakan universiti ini dan sudah tentu ia juga relevan kepada masyarakat umum kerana kesudahannya pelajar-pelajar kita akan berbakti kepada masyarakat dan menentukan masyarakat itu dalam keadaan yang diredhai oleh ALLAH SWT,” jelasnya.

Sumber