Perlukah ada wuduk ketika menyentuh aplikasi al-Quran dalam telefon?

Perlukah ada wuduk ketika menyentuh aplikasi al-Quran dalam telefon?

DALAM dunia milenial pada hari ini, boleh dikatakan segala kemudahan serba canggih dan lengkap untuk kita gunakan dalam kehidupan seharian.

Ia termasuklah juga aplikasi al-Quran yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit masing-masing.

Jadi, kita sepatutnya tidak lagi menggunakan alasan tidak sempat membaca al-Quran kerana kemudahan itu boleh didapati menerusi peranti sendiri.

Benar, ia sesuatu yang memudahkan, namun adakah penggunaan aplikasi al-Quran itu perlu dimuliakan sepertimana mushaf kalam ALLAH itu sendiri?

Wajibkah kita untuk mempunyai wuduk semasa membawa telefon bimbit yang mengandungi aplikasi penuh 30 juzuk al-Quran itu?

Bagi menjawab persoalan itu, sebenarnya tidak wajib untuk kita mempunyai wuduk ketika membawa atau menyentuh telefon bimbit, tetapi disyaratkan ada wuduk apabila ingin menyentuh tulisan yang tertera ayat-ayat al-Quran apabila aplikasi tersebut dibuka untuk dibaca.

Firman ALLAH SWT: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-mahkluk yang diakui bersih suci.” (Surah al-Waqi’ah, ayat 79)

Selain itu, aplikasi al-Quran tidak dihukumkan sama dengan mushaf al-Quran khusus sewaktu aplikasi berkenaan ditutup.

Namun, kita tetap perlu menjaga kehormatan ayat-ayat suci al-Quran daripada tercemar.

Jika ingin ke tandas, tiada masalah untuk membawa telefon bimbit berkenaan bersama, tetapi pastikan aplikasi al-Quran berkenaan tidak dibuka sebelum memasuki tandas.

Kepada mereka yang ada aplikasi al-Quran dalam telefon bimbit, sila ambil maklum tentang perkara-perkara itu ya.

Apapun jua keadaannya, sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kemuliaan kalam ALLAH itu.

(Sumber: Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *