Peranan ibu sebagai ‘madrasah’ anak

Peranan ibu sebagai ‘madrasah’ anak

KELUARGA atau kerjaya? Persoalan itu bukan mudah bagi golongan wanita jika diminta memilih untuk membuat keputusan untuk masa hadapan. Hari ini, ramai golongan ibu bekerja untuk membantu ekonomi keluarga.

Tanggungjawab di tempat kerja dan keluarga menuntut komitmen dan kebijaksanaan si ibu mengurus masa. Namun kesibukan dalam mengurus kehidupan kadangkala menyebabkan wanita terlepas pandang tanggungjawab hakikinya sebagai ibu.

USTAZ SAFRI

USTAZ SAFRI

Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, ibu ialah ‘madrasah’ atau tempat belajar anak manakala si ayah menjadi pengetua madrasah tersebut.

ALLAH SWT berfirman: “Dan ALLAH mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl, ayat 78)

Jelas Ustaz Safri, anak yang dilahirkan dari perut ibu sebenarnya tanpa pengetahuan. ALLAH menjadikan pendengaran sebagai deria awal pada anak yang baru lahir. Ibu yang baik sentiasa bersembang dengan anak. Anak akan biasa mendengar suara ibu.

“Rajin baca dan bisikkan al-Quran kepada anak yang masih kecil terutama waktu menyusu. Kita bercakap dengan anak dengan perkataan yang indah. Apa yang disampaikan oleh anak ialah cerminan seorang ibu,” katanya pada program Sesi Bedah Buku Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Ibu Adalah Madrasah tulisan Ustaz Bachtiar Nasir.

Program itu dianjurkan oleh Rumah Ngaji @ Laman 83 di Stesen 83, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

USTAZAH ISFADIAH

USTAZAH ISFADIAH

Sementara itu, Pengarah Akademi Keluarga Fitrah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki berkata, dalam Islam, ALLAH takdirkan ibu sebagai ‘madrasah’ kerana keistimewaannya yang mempunyai kelunakan dan kelembutan hati.

“Untuk membangunkan madrasah, ibu bapa perlu ada niat yang betul untuk membentuk jati diri anak. Pertama, serahkan anak dan generasi seterusnya kepada ALLAH SWT sebagai Khalifatullah.

“Kedua, melahirkan manusia yang mempunyai akhlak berkualiti agar dikasihi dan mendapat syafaat Rasulullah SAW. Ketiga, mendoakan agar dikurniakan anak soleh dan solehah,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *