Penuaan positif, kemurungan pada usia senja

Penuaan positif, kemurungan pada usia senja

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Dapat dicapai dengan aktif dalam aktiviti mencabar fizikal, mental

Soalan 1

DOKTOR, saya sering terjumpa istilah penuaan positif ketika membuat pembacaan mengenai ilmu kesihatan. Pun demikian, saya kurang jelas dan gagal memahaminya. Bolehkah doktor jelaskan kepada saya mengenai matlamat penuaan positif itu?

– INGIN TAHU, NORMAWATI SHAHADAN, 35, REMBAU, NEGERI SEMBILAN

Jawapan:

PUAN, terima kasih bertanyakan mengenai soalan ini. Secara jelasnya, penuaan positif boleh didefinisikan sebagai kesejahteraan positif, kesihatan fizikal, sosial dan mental yang baik.

Dalam pada itu, terdapat juga penglibatan berterusan dalam keluarga, kumpulan rakan sebaya dan masyarakat sepanjang tempoh proses penuaan. Penuaan positif biasanya dapat dicapai dengan penyertaan aktif dalam aktiviti yang mencabar fizikal dan mental.

Penuaan positif juga boleh dicapai dengan penglibatan dalam aktiviti masyarakat, seperti penyertaan kelab, aktiviti sukarela, gotong-royong dan hubungan sosial.

Memenuhi masa

Saya sering menasihatkan pesakit agar sentiasa aktif dalam usia tua. Ini kerana ia akan membantu masalah mental dan ingatan mereka.

Saya menggalakkan golongan yang lewat usia ini supaya menyertai kelab sosial, seperti ‘lunch club’ atau ‘knit and natter’. Aktiviti seumpama itu memerlukan golongan ini bertemu beberapa kali dalam seminggu untuk bersosial. Barangkali sambil menikmati makanan boleh juga membuat aktiviti bersama seperti menghasilkan kraftangan.

BERSOSIAL serta aktif berinteraksi juga dapat membantu mencapai penuaan positif

BERSOSIAL serta aktif berinteraksi juga dapat membantu mencapai penuaan positif

Mempunyai rutin mingguan dan memenuhi masa lapang dengan aktiviti adalah penting dalam penuaan positif. Masa yang dipenuhi pastinya akan membantu menghindar seseorang itu daripada rasa kebimbangan dan kemurungan.

Peranan penjaga:

– Memahami dan dapat memenuhi keperluan orang yang dijaga.

– Sebagai teman, pelindung dan pembela.

– Memberi penjagaan secara langsung.

-Implikasi penjagaan:

– Seseorang penjaga akan menghadapi saat-saat kepiluan dan kehilangan.

– Perubahan cara hidup seharian.

– Perhubungan antara penjaga dan orang yang dijagai.

– Perubahan peranan dan pengorbanan kerjaya.

PENUAAN positif membantu menghindar diri berdepan kebimbangan dan kemurungan

PENUAAN positif membantu menghindar diri berdepan kebimbangan dan kemurungan

Adalah menjadi kewajipan setiap individu untuk melindungi dan menjaga ahli keluarga yang sudah tua sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka yang tidak ternilai terhadap kita.

Sumber: www.myhealth.gov.my

Peka perubahan awal ibu bapa kian berusia

Soalan 2

Doktor, saya kini menjaga ibu saya yang sedang sakit. Masalahnya, saya beranggapan ibu saya berhadapan situasi sukar mengawal dirinya sendiri. Kadangkala beliau seperti mengalami kemurungan. Doktor, apakah yang perlu saya lakukan dalam masa yang sama saya mahu menjaga perasaannya?

– SAYANG IBU, JOHAN ABDULLAH, 30, KUALA LUMPUR

Jawapan:

TUAN, lazimnya orang tua kadang-kadang mempunyai tanda kemurungan yang berbeza dengan yang orang muda. Tanda-tanda kemurungan juga barangkali agak ketara, mereka mungkin lebih cepat naik angin, sensitif kepada teguran, berubah perangai atau suka menyendiri.

Bagi kemurungan yang lebih serius, golongan berusia ini akan kurang selera makan, tidur selalu atau tidak tidur, tidak mahu bercakap dengan orang dan enggan mengurus diri, seperti mandi dan menyalin baju. Ada juga orang tua menjadi mudah pelupa atau sering bimbang.

Jadi selalunya mereka itu akan mudah disangka menghadapi masalah nyanyuk atau dementia.

Pakar psikiatri geriatrik yang berpengalaman boleh menganalisis dan menghurai permasalahan mereka. Penting untuk penjaga supaya peka dengan perubahan awal dalam kalangan orang tua. Adalah mustahak untuk penjaga meluangkan masa mendengar dan menghurai apa yang mengganggu fikiran golongan tersebut.

Kadang-kadang mereka berasa tersisih, sunyi ataupun melalui tekanan akibat kehilangan orang tersayang, pekerjaan atau masalah kewangan. Jika penjaga merasakan sukar untuk berkomunikasi dengan ibu bapa mereka, bolehlah merujuk kepada golongan kesihatan profesional untuk membantu. Jika kemurungan menjadi serius, lebih elok dibawa berjumpa pakar secepat mungkin untuk rawatan.

DR Wan Izwin Najla Wan Hassan

DR Wan Izwin Najla Wan Hassan

PROFIL

Dr Wan Izwin Najla Wan Hassan

Pakar Psikiatri Geriatrik dan Dementia Sheffield, United Kingdom.

Beliau juga pensyarah Klinikal Honorari di University of Sheffield.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *