PENGEMBARAAN HARRIS ALIF & LAPAN WIRA Z DALAM PROGRAM REALITI KANAK-KANAK BAHARU TV3

PENGEMBARAAN HARRIS ALIF & LAPAN WIRA Z DALAM PROGRAM REALITI KANAK-KANAK BAHARU TV3

Kuala Lumpur

Terbaharu di TV3, program realiti Generasi Z mengetengahkan lapan kanak-kanak terbaik yang akan diuji kecerdasan minda, kecergasan fizikal dan juga kekentalan jiwa dalam menyelesaikan pelbagai cabaran dan ujian yang pasti meninggalkan impak positif dalam usia muda mereka.

Lebih 500 peserta telah hadir ke uji bakat, hanya lapan peserta terbaik yang terpilih sebagai Wira Z. 

Selepas kejayaan program The Z Power di 8TV yang turut menjulang trofi Rancangan Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2019, TV3 memperkenalkan versi Bahasa Malaysia iaitu Generasi Z yang akan bersiaran pada 11 Oktober 2020, setiap hari Ahad, pukul 7.00 malam. Musim baharu The Z Power juga mula disiarkan pada hari yang sama, pukul 9.00 malam di 8TV. Penonton juga boleh strim program ini di portal www.tonton.com.my   
Generasi Z menampilkan Scott’s DHA Gummies sebagai Penaja Eksklusif. Diterbitkan oleh Sky Pictures dan dihoskan oleh Harris Alif, program yang mempunyai 10 episod ini menampilkan lapan Wira Z yang berumur dari 9 hingga 12 tahun.

Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, “Generasi Z dihasilkan rentetan daripada kejayaan The Z Power yang disiarkan di 8TV tahun lalu yang pernah merangkul Rancangan Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2019. Generasi Z yang bakal disiarkan di TV3 ini dijangka dapat menawan hati penonton cilik kami kerana ia menampilkan persaingan sihat antara 8 kanak-kanak dalam pelbagai rintangan yang disediakan. Secara tidak langsung, program ini dapat membentuk sahsiah dan jati diri bukan sahaja dalam kalangan peserta, tetapi juga penonton cilik kami. Apatah lagi kanak-kanak masa kini lebih cenderung dengan permainan online, Generasi Z dapat memupuk semangat setiakawan, sikap tanggungjawab serta membentuk pemikiran positif dalam diri untuk berhadapan dengan apa sahaja rintangan yang mereka lalui di masa hadapan. Pastinya program ini memberi kenangan manis kepada para peserta untuk lebih berkeyakinan dan tidak bersikap anti sosial.”

Sementara itu, Bryan Wong, Pengurus Besar, GSK Consumer Healthcare Malaysia, Singapore & Brunei berkata, “Kanak-kanak sentiasa aktif dan mempunyai sifat ingin tahu seperti mana yang digambarkan dalam siri permainan baharu ini yang mencabar minda, stamina dan kemahiran mereka melalui aktiviti dalaman dan luaran. Aktiviti-aktiviti ini adalah pengalaman pembelajaran yang positif, di mana mereka perlu mengenal pasti dan menerapkan strategi yang berbeza untuk menyelesaikan masalah. Scott’s DHA Gummies mempertingkatkan sifat ingin tahu di kalangan kanak-kanak dan ia mengandungi DHA. DHA adalah blok utama yang membina perkembangan otak dan fungsi mata. Kolaborasi kami bersama Media Prima bertujuan untuk mendorong kanak-kanak mencabar minda dan melibatkan diri mereka dalam penyelesaian masalah melalui aktiviti-aktiviti yang menarik dan mencabar.” 

Lapan Wira Z yang akan beraksi dalam Generasi Z di samping hos program, Harris Alif sebagai ‘Kapten’ ialah Muhammad Adam Haqimi bin Aizal Izuan (Adam, 11 tahun, Selangor), Nik Harraz Danish bin Nik Mohd Yusoff (Harraz, 11 tahun, Kuala Lumpur), Zara Nur Zaheera binti Nur Zaiki (Zara, 12 tahun, Kuala Lumpur), Asfa Danish bin Azwan (Asfa, 12 tahun, Kuala Lumpur), Aisy Aqil Rifaie Bin Abdul Azim (Aisy, 10 tahun, Selangor), Larra Alicia binti Fadzil (Larra, 9 tahun, Selangor), Sarah Najihah binti Mohamad Fauzi (Sarah, 12 tahun, Selangor) dan Jurey Zara Anyssa (Jurey, 12 tahun, Putrajaya).

Lapan Wira Z akan bersuai kenal dalam sesi perkhemahan selama 2 hari 1 malam yang diadakan di Semenyih Eco Venture. Selepas penentuan khemah yang menjadi tempat penginapan mereka menerusi permainan ‘paintball shooting’, kesemua Wira Z akan menjalani beberapa cabaran fizikal seperti “Relay Race: Rock Climbing & Ninja Wall”, “Obstacle Speed Challenge”, “Dinner Game”, “Mud Challenge”, dan “Lake Crossing”. 

Untuk episod 2, mereka akan dibahagikan kepada 2 kumpulan untuk belajar tentang gamelan dan silat gayong sebelum membuat persembahan di program Wanita Hari Ini secara bersiaran langsung. Seterusnya, mereka akan berhadapan dengan siri cabaran IQ di episod 3. Ia bukan saja akan menguji daya ingatan, pengetahuan asas dan tahap pemahaman, mereka juga perlu bekerjasama secara berpasukan untuk mendapatkan markah paling tinggi dalam cabaran tersebut. 

Episod 4 akan membawa kesemua Wira Z untuk mengenali kerjaya sebagai cef. “Little Junior Chef” menjalani sesi penggambaran di The Cooking House  yang membahagikan mereka kepada 2 kumpulan. Mereka diperlukan untuk menyediakan menu set bento untuk 5 orang kanak-kanak di bawah bimbingan chef profesional. Hasil air tangan mereka akan diagihkan ke rumah anak yatim. 

Pengembaraan Wira Z diteruskan di Aquaria KLCC dalam paparan episod 5. Mereka akan bermalam dan menjalankan aktiviti menarik untuk mengenali hidupan laut pada waktu malam. Wira-wira Z perlu menyelesaikan beberapa tugasan secara berkumpulan untuk mendapatkan markah terkumpul dalam cabaran selama 2 hari 1 malam tersebut. Selepas 5 episod, mereka akan berhadapan dengan dua sesi penyingkiran. Hanya 4 Wira Z yang dapat merebut tempat di pusingan akhir nanti.  
Generasi Z dibawakan khas oleh Scott’s DHA Gummies selaku Penaja Eksklusif, bersiaran di TV3 bermula 11 Oktober 2020, setiap hari Ahad, pukul 7.00 malam. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan The Z Power 2 di 8TV pada pukul 9.00 malam yang juga bermula pada hari yang sama. Gunakan #GenerasiZ #Scottsgummies #RainbowLaunch untuk menghangatkan lagi perbualan di laman media sosial.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malays