Pengeluaran getah asli asli turun 3.6 peratus

Pengeluaran getah asli asli turun 3.6 peratus

Gambar hiasan - Foto 123RF

Gambar hiasan – Foto 123RF

PENGELUARAN getah asli Malaysia turun 3.6 peratus kepada 29,451 tan bulan ke bulan pada Januari 2023 daripada 30,556 tan pada Disember 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Januari 2023 yang dikeluarkan pada Selasa, DOSM menjelaskan, pengeluaran getah asli susut sebanyak 39.3 peratus pada Januari 2023 daripada 48,546 tan pada bulan yang sama tahun lepas.

Sebanyak 84.2 peratus pengeluaran getah asli pada Januari 2023 disumbangkan oleh sektor pekebun kecil manakala 15.8 peratus lagi daripada sektor estet, tambahnya.

Jabatan itu memaklumkan jumlah stok getah asli susut 3.4 peratus kepada 194,553 tan pada Januari 2023 berbanding 201,360 tan pada Disember 2022.

“Kilang pemproses getah menyumbang 90.7 peratus stok akhir, diikuti kilang pengguna getah sebanyak 9.2 peratus manakala ladang getah sebanyak 0.1 peratus,” jelas DOSM.

Menurut DOSM, eksport getah asli Malaysia merosot 16.3 peratus kepada 40,867 tan pada Januari 2023 daripada 48,797 tan pada Disember 2022.

“China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli yang menyumbang 41.2 peratus kepada jumlah eksport pada Januari 2023, diikuti Turki dengan 5.4 peratus, Jerman sebanyak 5.1 peratus, Amerika Syarikat pula 3.6 peratus dan Brazil pada 2.7 peratus,” jelasnya.

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan 6.8 peratus pada Januari 2023 kepada 502.05 sen sekilogram daripada 470.21 sen sekilogram pada Disember 2022, manakala harga sekerap naik 0.6 peratus kepada 463.84 sen sekilogram daripada 461.20 sen sekilogram pada Disember 2022.

Harga bagi semua Getah Mutu Malaysia (GMM) meningkat antara 1.7 peratus dengan 6.7 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan sebelumnya, menurut perangkaan. – Bernama

Sumber