Penanggung insurans sedia bantu mangsa percepat tuntutan: PIAM

Penanggung insurans sedia bantu mangsa percepat tuntutan: PIAM

KUALA LUMPUR – Penyedia insurans telah membuat pengecualian tertentu untuk mempercepatkan penyelesaian tuntutan yang dibuat oleh mangsa banjir.

Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Antony Lee Fook Weng berkata, ini termasuk mengetepikan keperluan untuk laporan polis, menubuhkan talian hotline tambahan dan menyediakan pelaras kerugian di tempat kejadian.

“Kami sebenarnya sedang mengeluarkan beberapa keperluan tertentu. Sesetengah syarikat insurans juga boleh memberi wang tunai kecemasan dengan segera. Dalam sesetengah kes, sehingga RM5,000 (diberikan) bergantung kepada polisi (yang mendapat perlindungan banjir), tanpa perlu melalui proses penuh (tuntutan) kerana kami faham ketika ini, wang tunai diperlukan dengan segera, ” katanya dalam program The Brief terbitan Bernama TV pada Selasa.

Fook Weng sehubungan itu menasihati pemegang polisi untuk menghubungi syarikat insurans atau ejen masing-masing bagi membantu mereka, namun beliau memberi amaran bahawa mungkin terdapat beberapa kelewatan dalam menyelesaikan tuntutan tetapi tuntutan itu akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, penyedia insurans sudah bersedia untuk menghadapi bencana seperti ini walaupun banjir baru-baru ini berada pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Penanggung insurans juga telah menggerakkan pasukan tuntutan mereka ke kawasan banjir yang terjejas berkuat kuasa serta-merta, katanya.

Beliau turut menasihatkan pemegang polisi untuk menyemak semula perlindungan mereka kerana perlindungan banjir adalah pilihan di bawah polisi kebakaran dan kenderaan motor standard. – Bernama



Sumber