Pembukaan semula sempadan beri manfaat kepada MAHB: CGS-CIMB

Pembukaan semula sempadan beri manfaat kepada MAHB: CGS-CIMB

KUALA LUMPUR – CGS-CIMB mengulangi saranan ‘tambah’ ke atas saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memandangkan pengendali lapangan terbang itu mungkin mendapat keuntungan daripada peserta baharu pasaran penerbangan Malaysia yang merangsang trafik melalui harga promosi yang murah dan persaingan harga.

Firma pembrokeran itu mengunjurkan trafik penumpang domestik MAHB akan pulih kepada 70 peratus daripada paras pra pandemik 2019 tahun ini sementara paras penumpang antarabangsanya pula akan meningkat kepada 25 peratus daripada paras 2019.

Dalam nota penyelidikan pada Khamis, ia berkata, kembalinya semula pengembara antarabangsa akan memberi impak yang sangat baik kepada MAHB kerana penumpang antarabangsa membayar caj perkhidmatan penumpang lima hingga tujuh kali lebih tinggi daripada penumpang domestik, selain boleh membeli-belah di kedai bebas cukai.

“Justeru, leveraj pendapatan akan menjadi sangat besar,” tambahnya.

Namun begitu, CGS-CIMB berkata risiko menurun untuk MAHB ialah varian-varian baharu Covid-19 yang berpotensi membawa kepada penutupan sempadan.

Ia juga menyatakan beberapa negara jiran serantau yang besar dan mempunyai ramai penduduk terus menyekat ketibaan pengembara seperti Indonesia, Vietnam, Jepun, Hong Kong, China dan India.

“Pemulihan yang lebih menyeluruh dan kukuh dalam trafik penumpang antarabangsa MAHB akan bergantung pada sama ada dan bila negara-negara ini melonggarkan sekatan masuk mereka,” tambahnya. – Bernama

Sumber