Pembeli PR1MA boleh dapat pembiayaan 110 peratus – CBP

Pembeli PR1MA boleh dapat pembiayaan 110 peratus – CBP

Kor Ming (tiga dari kiri) menyaksikan Sesi Penukaran Dokumen Persetujuan Kerjasama Strategik Skim Rumah CBP MyPR1MA di Ipoh, Perak pada Sabtu.

Kor Ming (tiga dari kiri) menyaksikan Sesi Penukaran Dokumen Persetujuan Kerjasama Strategik Skim Rumah CBP MyPR1MA di Ipoh, Perak pada Sabtu.

PEMBELI rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menerima berita baik apabila mereka boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 110 peratus termasuklah pembiayaan perumahan, kos guaman dan takaful daripada Co-opbank Pertama (CBP) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pembiayaan itu boleh diperoleh menerusi Skim CBP MyPR1MA yang bertujuan bagi membantu golongan pertengahan untuk memiliki kediaman impian mereka di seluruh negara selain turut mengumumkan kerjasama bersama PR1MA.

“Menerusi skim ini, pembeli rumah PR1MA juga tidak perlu membayar wang pendahuluan. Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau pada Sabtu hadir ke Sesi Penukaran Dokumen Persetujuan Kerjasama Strategik Skim Rumah CBP MyPR1MA yang disaksikan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Ipoh Perak.

Khairil Anuar menambah, menerusi Skim CBP MyPR1MA ini, pembeli rumah boleh mendapatkan perlindungan takaful dan takaful kebakaran.

“Kadar keuntungan yang ditawarkan juga adalah sangat kompetitif sama seperti institusi kewangan lain di pasaran.

“Antara kelebihan jika orang ramai mendapatkan pembiayaan di CBP adalah pembiayaan sehingga 110 peratus dapat memberi perlindungan risiko komprehensif yang amat bermanfaat terutama kepada pembeli rumah pertama,” katanya.

Selain itu ujarnya, CBP turut menawarkan pelbagai pembiayaan perumahan termasuklah Pembiayaan Al-Amali, Pembiayaan Ar-Rahah dan CBP Rumah Pertamaku.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan pembiayaan perumahan dan produk serta perkhidmatan perbankan lain boleh melayari www.cbp.com.my atau mengunjungi 29 cawangan CBP di seluruh negara.

Sumber