Pelancaran Eksklusif Koleksi 9KJ Trishya&Co Bawa Rekaan Unik ke Malaysia

Pengasas jenama barang kemas Trishya&Co, Datin Dr. Raskidah Ali bersama Pengarah Trishya&Co, Sarah Ezzate Norbik, bercita-cita untuk mencapai jualan sebanyak RM10 juta menjelang akhir tahun 2024 melalui pelancaran koleksi terbaru mereka, ‘9KJ’ (9 Karat Jewellery). Melalui inovasi dan dedikasi dalam rekaan, beliau percaya koleksi ini akan memperluaskan lagi kehadiran Trishya&Co dalam pasaran barang kemas tempatan dan antarabangsa.

“Sejak dilancarkan, koleksi 9KJ telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Malah, sebelum pelancaran rasmi malam ini, kami sudah meraih jualan sebanyak RM1.3 juta,” jelas Dr. Raskidah, yang lebih dikenali sebagai Datin Ras, ketika ditemui pada majlis pelancaran eksklusif ‘9KJ’ yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Pelancaran ini diadakan dalam suasana santai dan penuh gaya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Trishya&Co, Sarah Ezzate Norbik, Pengasas Bersama Nayli Batrishya Norbik, serta Ketua Pegawai Operasi, Dato Dr. Norbik Bashah Idris. Mereka bersama-sama meraikan ejen dan pelanggan setia dengan pemberian anugerah seperti ‘Best Customer of the Year’, ‘Best Dress Lady’, ‘Best Dress Couple’, dan ‘Pelanggan Paling Kecil’. Acara ini turut menyaksikan pemberian penghargaan kepada pelanggan yang telah memberikan sokongan luar biasa kepada jenama ini.

Menurut Dr. Raskidah, idea untuk koleksi ‘9KJ’ muncul setelah beliau melakukan perjalanan ke Turki dan London. Di sana, beliau mendapati banyak wanita menghias diri dengan barang kemas 9 karat yang mempunyai kandungan emas sebanyak 0.9%.

“Walaupun emas tulen seperti 999 atau 916 adalah pilihan yang baik untuk pelaburan, emas 9 karat adalah lebih sesuai untuk digunakan sehari-hari. Ia mempunyai reka bentuk yang unik dan elegan, serta boleh ditempah khas mengikut citarasa sendiri,” kata Datin Ras sambil menunjukkan salah satu rekaan gelang tangan yang bersambung dengan cincin, yang telah menerima 33 tempahan dalam masa hanya tiga hari.

Beliau turut menambah bahawa emas 9 karat adalah pilihan ideal untuk perhiasan harian dan majlis-majlis tertentu, manakala emas 999 atau 916 lebih sesuai untuk tujuan pelaburan.

“Sekiranya anda mahu melabur, emas 999 atau 916 adalah pilihan terbaik. Namun, emas 9K juga mempunyai kelebihan kerana ia boleh digadai di ArRahnu dan juga boleh ditukar dengan barang lain mengikut nilainya,” tambah Dr. Raskidah.

Hadir sama di majlis tersebut adalah selebriti terkenal Datin Maria Arshad dan bekas penyanyi realiti AF5, Syafiq Adri Fitri, yang memeriahkan majlis dengan persembahan lagu ‘Keabadian Cinta’. Suasana malam itu bertambah meriah dengan persembahan oleh penyanyi Haqiem Rusli, yang telah dilantik sebagai Duta JOM (Jewels of Malaysia).

Tema majlis ‘Malam Penghargaan dan Pelancaran 9KJ’ adalah ‘Emas/Hitam atau Hitam/Perak’. Para tetamu dihiburkan dengan pertunjukan koleksi emas 9KJ sebelum majlis diakhiri dengan penghargaan kepada ejen jualan dan pelanggan, serta cabutan bertuah yang menarik.

Untuk masa depan, Dr. Raskidah merancang untuk mengembangkan francais Trishya&Co ke seluruh Semenanjung Malaysia. Beliau juga bercadang untuk bekerjasama dengan pereka muda yang mahir dalam mencipta barang kemas yang mencerminkan warisan dan budaya Malaysia, dengan acara tersebut dirancang untuk berlangsung pada akhir tahun ini.